30 Apr 2026 – Memperkasa Ketahanan Iklim Asia Tenggara di Pulau Pinang

PULAU PINANG, 26 April 2026 – Pada 26 hingga 30 April 2026, Pulau Pinang menjadi tumpuan bagi penganjuran Asia Pacific Network for Global Change Research (APN) Proposal Development Training Workshop (PDTW) dan Mesyuarat Jawatankuasa Sub-Serantau Asia Tenggara (SEA-SRC) ke-14. Program anjuran Sekretariat APN dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ini dirasmikan oleh YBhg. Datuk Nor Yahati binti Awang, Timbalan Ketua Setiausaha NRES. Dalam bengkel ini, Prof. Dr. Joy Jacqueline Pereira dari Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah memainkan peranan penting sebagai pakar rujuk dalam membimbing 70 peserta serantau yang terlibat.

Prof. Joy bertanggungjawab untuk menerajui sesi latihan praktikal bagi membantu penyelidik mengenal pasti jurang penyelidikan dan membina naratif cadangan projek yang berimpak tinggi dalam bidang perubahan iklim serta pengurangan risiko bencana (DRR). Aktiviti memfokuskan kepada integrasi data iklim, sistem amaran awal dan pendekatan berasaskan alam semula jadi. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara saintis dan pembuat dasar, malah berpotensi memacu pembiayaan penyelidikan strategik yang selaras dengan Pelan Adaptasi Nasional (MyNAP) demi masa depan global yang lestari.

Disediakan oleh Puteri Amirah Nabilah Azman
30 April 2026