13 Mac 2026 – Merangka Kajian Impak Pembangunan Ladang Hutan Terhadap Alam Sekitar di HSK Kelantan dan Terengganu

KOTA BHARU, 13 MAC 2026 – Satu program kerja lapangan telah dianjurkan oleh Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM bersama UKM Pakarunding, bertujuan menentukan tapak kajian khusus bagi mengenal pasti impak alam sekitar daripada aktiviti pembangunan ladang hutan di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK). Lawatan tapak ini dijalankan di dua buah Negeri di Zon Pantai Timur meliputi ladang-ladang hutan di HSK Sokor Taku dan HSK Lebir di Kelantan, serta ladang hutan di HSK Jerangau, Terengganu.

Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed turut berkesempatan mengadakan aktiviti perbincangan bersama Pengarah dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. Sesi perbincangan di kedua-dua buah Negeri ini memfokuskan kepada persediaan pasukan penyelidik bersama pegawai-pegawai perhutanan yang terlibat untuk merangka aktiviti kerja lapangan sepanjang tahun 2026, terutama dari aspek perancangan tarikh, logistik dan sumber manusia. Selain Prof. Fariz, ahli pasukan penyelidik turut membariskan pakar-pakar taksonomi tumbuhan, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad dan Dr. Shamsul Khamis serta Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail yang mempunyai kepakaran puluhan tahun dalam bidang pengurusan hutan.

Disediakan oleh Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed
13 Mac 2026