20 Mei 2026 – KPU GAMAT Menyasarkan Kerjasama Erat Bersama Jabatan Warisan Negara

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2026 – KPU Governans untuk Pemuliharaan Warisan (GAMAT) dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah mengadakan satu Sesi Kunjungan Hormat Rasmi ke Jabatan Warisan Negara (JWN) pada 20 Mei 2026, bertempat di Menara PNB, Kuala Lumpur. Tujuan sesi ini dianjurkan adalah bagi berbincang secara strategik bersama pihak pengurusan JWN berkaitan potensi kerjasama di antara kedua-dua belah pihak khususnya berkaitan penyelidikan dan pendidikan dalam aspek pemuliharaan warisan di Malaysia.

Sesi perbincangan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JWN, Tuan Mohamad Muda Bahadin, di mana beliau banyak memberikan maklum balas berkaitan jenis aktiviti penyelidikan yang berpotensi dijalankan bersama antaranya termasuklah penyelidikan kolaborasi dalam aspek pemuliharaan warisan, penganjuran seminar atau bengkel untuk sebaran ilmu yang lebih berkesan dan penghasilan penerbitan. Sejurus pembentangan oleh Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim, Ketua KPU GAMAT, Tuan Mohamad Muda mencadangkan agar delegasi UKM ini turut melihat kepada perbezaan atau pertindanan di antara pengiktirafan UNESCO Global Geopark dan UNESCO World Heritage Site bagi menggariskan penerangan dalam konteks warisan yang lebih jelas kepada umum.

Selain Dr. Sharina, delegasi KPU GAMAT yang menyertai Sesi Kunjungan Hormat ini terdiri daripada Penyelidik Utama, Prof. Madya Dr. Nor Zalina Harun dan Dr. Zanisah Man; Penyelidik Bersekutu, Datin Paduka Dr. Halimaton Saadiah Hashim dan Dr. Lee Jing; serta En. Nazren Leman, Pegawai Sains LESTARI. Manakala wakil dari JWN yang turut hadir dalam sesi ini pula terdiri daripada En. Wan Zainal Shahriman Wan Husain, Ketua Unit Komunikasi Korporat; Dr. Farizawati Sabri, Pengarah Bahagian Konservasi; En. Ahmad Fadzlan Omar, Kurator Bahagian Daftar Warisan; Pn. Aerriscia Epple, Kurator Bahagian Warisan Tidak Ketara; dan En. Sanjai Kumar a/l Bascaran, Kurator Bahagian Warisan Dunia.

Maklum balas dan cadangan yang diberikan sewaktu sesi perbincangan ini memberi gambaran lebih jelas kepada pasukan KPU GAMAT untuk memetakan isu-isu dan permasalahan masa kini berkaitan governans pemuliharaan warisan, dan seterusnya menjadi input dalam perangkaan strategi dan hala tuju penyelidikan kumpulan di masa hadapan.

Disediakan oleh Nazren Leman
20 Mei 2026