14 Mei 2026 – Dialog Serantau CLARE-ASEAN bagi Pengukuhan Adaptasi Iklim, Daya Tahan Bandar dan Perumahan Berdaya Huni

BANGKOK, 14 Mei 2026 – Program “Regional Workshop and Dialogue on Strengthening Urban Climate Adaptation and Resilience in ASEAN: Bridging Knowledge-Policy-Action Gaps” telah diadakan pada 12 hingga 14 Mei 2026 di Crowne Plaza Bangkok Lumpini Park, Thailand, diikuti dengan sesi mesyuarat dalaman dan pembentangan kemajuan kajian pada hari ketiga. Program ini dianjurkan oleh CLARE-ASEAN (Climate Adaptation & Resilience) bagi memperkukuh hubungan antara pengetahuan, dasar dan tindakan dalam agenda adaptasi iklim bandar di rantau ASEAN.

Program yang disertai oleh Prof. Madya Dr. Nor Zalina Harun dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM ini menghimpunkan empat kumpulan penyelidikan daripada lapan negara yang terlibat dalam kajian tindakan berkaitan pengurusan haba bandar, penyelesaian berasaskan alam semula jadi, pembiayaan iklim, perancangan bandar dan tadbir urus. Pada hari kedua, Dr. Nor Zalina telah dijemput sebagai panelis dalam Sesi 4: Planning and Governance to Enhance Response to Urban Climate Adaptation and Resilience.

Pada hari ketiga pula, mesyuarat penyelidikan dan pembentangan kemajuan kajian oleh setiap kumpulan telah dilaksanakan bagi menilai perkembangan kerja lapangan, dapatan awal, cabaran pelaksanaan dan hala tuju penyelidikan. Penyertaan ini memperkukuh jaringan serantau, meningkatkan visibiliti penyelidikan Malaysia serta menyumbang kepada pembentukan keutamaan dasar adaptasi iklim bandar ASEAN.

Disediakan oleh PM Dr. Nor Zalina Harun
14 Mei 2026