4 Jun 2026 – UK, Malaysia Perkasa Pemuliharaan Hutan Bakau Melalui Projek REVIVE Bernilai RM3.9 Juta

MANCHESTER, 4 Jun 2026 – Satu inisiatif penyelidikan antarabangsa baharu dijangka akan mula dijalankan dalam tempoh tiga tahun, bermula sekitar Julai 2026 sehingga Jun 2029. Dijenamakan sebagai Projek REVIVE, inisiatif ini menagih kepakaran dan kolaborasi strategik khususnya di antara pakar penyelidik dari United Kingdom dan Malaysia dalam pemuliharaan ekosistem bakau. Projek bertajuk “Just Restoration and Equitable Value Chains for Inclusive, Viable Mangrove Ecosystems: The Case of Malaysia” ini dilaksanakan di bawah Global Centre on Biodiversity for Climate (GCBC) Grant, bernilai RM3.9 Juta.
Projek REVIVE diterajui oleh Dr. Aarti Krishnan dari University of Manchester, UK dan disokong oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Aldrie Amir, Felo Penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM. Selain itu, pasukan penyelidik projek ini turut membariskan Dr. Mehebub Sahana dan Dr. Sandra Sampaio dari University of Manchester; Prof. Madya Dr. Behara Satyanarayana dan Dr. Giovanna Wolswijk dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Dr. Subhasish Dey dari University of Warwick; Prof. Daniel Gartner dari Cardiff University; Dr. Radhika Bhargava dari National University of Singapore (NUS); dan Mr. Ilyas, mewakili Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA).

Projek REVIVE dijangka akan menilai semula secara menyeluruh hubungan tukar-ganti (trade-offs) dan sinergi antara usaha pemulihan dan perluasan bakau melalui pembangunan rantaian nilai komersial. Pasukan penyelidik akan menguji satu pendekatan baru yang menggabungkan tadbir urus berasaskan komuniti, bukti saintifik serta rantaian nilai yang lebih adil bagi membolehkan komuniti setempat mengakses peluang ekonomi yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi. Kerja lapangan akan dilaksanakan merentasi tiga landskap hutan paya bakau di Malaysia, iaitu Hutan Simpan Matang, Perak; Sungai Acheh dan Sungai Cheenam, Pulau Pinang; dan Taman Negeri Setiu Wetlands, Terengganu.
Dalam pada itu, Dr. Aldrie telah berkesempatan bertandang ke Alliance Manchester Business School, University of Manchester, UK pada 31 Mei hingga 4 Jun 2026 dalam pertemuan bersama rakan pasukan penyelidik Projek REVIVE dan membincangkan struktur pakej kerja, penetapan output projek, pembahagian tanggungjawab dan garis masa pelaksanaan, lantas menandakan bermulanya Projek REVIVE secara rasmi.

Disediakan oleh Nazren Leman & PM Dr. Ahmad Aldrie Amir
4 Jun 2026