14 Julai 2026 – CMRG LESTARI Anjur Sesi Latihan Teknikal Pengurusan Bahan Kimia Bersama Henkel Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Julai 2026 – Kumpulan Penyelidikan Pengurusan Bahan Kimia (CMRG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah dijemput untuk mengendalikan sesi latihan teknikal bersama pihak Henkel (Malaysia) Sdn. Bhd. di KL Eco City. Latihan yang disampaikan oleh Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta ini memfokuskan kepada aspek pengurusan dan pematuhan keperluan undang-undang bahan kimia di Malaysia, terutamanya Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 [Peraturan CLASS 2013].

Sesi ini telah dihadiri oleh 15 orang peserta dan bertujuan memperkasakan kefahaman serta keupayaan para peserta dalam mematuhi skop perundangan negara yang berkaitan. Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CMRG dalam meningkatkan pembinaan kapasiti serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama pihak industri demi memperkasakan pengurusan bahan kimia di Malaysia.

Disediakan oleh Mohamad Mahathir Amir Sultan
14 Julai 2026