4 Julai 2026 – Ke Arah Pengurusan Lestari Lenggong UNESCO Global Geopark

LENGGONG, 4 Julai 2026 – Mesyuarat Pengenalan Perunding dan Lawatan Awal Tapak bagi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Lenggong Geopark telah diadakan pada 2-4 Julai 2026 di Lenggong, Perak, anjuran Uni-Technologies Sdn. Bhd., Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini menjadi langkah awal dalam penyediaan pelan pengurusan yang akan memandu pembangunan, pemuliharaan dan pengurusan Lenggong UNESCO Global Geopark secara lebih terancang. Dr. Nadzirah Hosen dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM terlibat sebagai perunding bagi komponen pelancongan serta sosioekonomi masyarakat dengan memberi tumpuan kepada potensi produk pelancongan, penglibatan komuniti setempat dan manfaat ekonomi kepada penduduk.

Sesi lawatan awal yang diadakan ini turut membantu pasukan perunding memahami keadaan sebenar tapak, mengenal pasti isu utama dan membentuk cadangan yang lebih sesuai dengan keperluan kawasan serta masyarakat tempatan. Selain Dr. Nadzirah, pasukan perunding yang diterajui oleh Prof. TPr. Dr. Amran Hamzah ini turut membariskan dua pakar dari Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), LESTARI, iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo dan Prof. Dr. Norhayati Ahmad, masing-masing bakal menyumbang kepakaran dari aspek geologi dan arkeologi, serta alam sekitar dan biologi.

Disediakan oleh Dr. Nadzirah Hosen
4 Julai 2026