7 Julai 2026 – Bengkel Penulisan Saintifik Geospatial: Dari Idea ke Penerbitan

BANGI, 7 Julai 2026 – Satu ‘Bengkel Penulisan Saintifik Geospatial: Dari Idea ke Penerbitan’ telah dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (KASES), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran pelajar pascasiswazah dalam menghasilkan penulisan saintifik yang berkualiti serta memenuhi standard penerbitan akademik semasa. Seramai 20 orang peserta dari UKM telah menghadiri bengkel ini yang telah dijalankan bertempat di Bilik Kuliah Utama LESTARI bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 1.00 tengahari. Bengkel ini telah dikendalikan oleh dua orang penceramah dari LESTARI iaitu Prof. Madya Gs. Dr. Nuriah Abd Majid dan Prof. Gs. Dr. Ruslan Rainis.

Bidang geospatial yang semakin berkembang memerlukan penyelidik bukan sahaja berupaya menjalankan penyelidikan yang berkualiti, malah mampu menterjemahkan hasil kajian kepada manuskrip yang sistematik, berimpak dan berpotensi diterbitkan dalam jurnal berwasit. Sehubungan itu, bengkel ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas penulisan teknikal geospatial, pembangunan kandungan saintifik, penyampaian dapatan kajian serta strategi penerbitan akademik. Program ini juga menyediakan platform perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pakar dalam bidang geospatial bagi membantu pelajar meningkatkan kualiti penulisan serta memperkukuh budaya penyelidikan dan penerbitan di LESTARI.

Penganjuran program ini juga menyokong agenda universiti dalam memperkasakan kecemerlangan penyelidikan, meningkatkan output penerbitan berkualiti dan memperluaskan impak penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Disediakan oleh Muhamad Fadle Mohamad Abu Sadin
7 Julai 2026