23 Julai 2026 – Kem Ekologi Madani IKIM-LESTARI 2026: Perkasa Generasi Muda Melalui Pembelajaran Berasaskan Pengalaman

HULU LANGAT, 23 Julai 2026 – Pengembaraan Kem Ekologi Madani 2026 anjuran bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah berlangsung dengan jayanya pada 21-23 Julai 2026 bertempat di Nur Lembah Pangsun, Batu 18, Hulu Langat, Selangor. Kem selama tiga hari ini melibatkan penyertaan seramai 30 orang pelajar serta enam orang guru iringan daripada tiga buah sekolah menengah terpilih di negeri Selangor, iaitu SMK Jugra, SMK Dato’ Abu Bakar Baginda dan SMK Maahad Hamidiah.

Program yang berlangsung membariskan penceramah berpengalaman yang terdiri daripada Puan Azrina Sobian (IKIM), Dr. Marilah Sarman (Fakulti Sains dan Teknologi, UKM), Encik Nik Mohd Noor Faizul Md Saad (Pusat Penyelidikan Langkawi, UKM) serta tiga penyelidik LESTARI, iaitu Profesor Madya Dr. Sharina Abdul Halim, Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail dan Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin. Program ini turut dibantu oleh barisan fasilitator daripada LESTARI, termasuk Encik Muhammad Amirulamri Mohd Akhairi, Encik Norazmi Abdul Kadir, Cik Nurlina Mohamad Ramzan dan Cik Nurul Hidayah Shamsul Ariffin. Pasukan IKIM pula memainkan peranan penting dalam hal ehwal pengurusan bagi membantu menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.

Kem Ekologi Madani bertujuan meningkatkan kesedaran serta menyemarakkan minat para pelajar untuk mengenali dan menghargai warisan alam semula jadi serta budaya di sekitar Hulu Langat, yang merupakan sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp). Menerusi kem ini, para pelajar didedahkan kepada hubungan dan kebergantungan antara manusia dengan alam sekitar. Modul yang disusun merangkumi pelbagai topik, antaranya nilai-nilai murni dalam pemuliharaan alam, peranan manusia sebagai khalifah, geologi dan kehidupan, sumber hutan tropika, kesihatan persekitaran dan kelestarian sumber air. Setiap modul menggabungkan pembelajaran secara teori dan praktikal bagi membolehkan para pelajar memahami serta menghayati ilmu yang disampaikan melalui pengalaman secara langsung.

Penganjuran kali ini merupakan edisi kedua Kem Ekologi Madani selepas program pertama berjaya diadakan di Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) pada tahun 2023 yang lalu. Program ini dilaksanakan menerusi kerjasama IKIM dan LESTARI, UKM berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara kedua-dua institusi. Kerjasama berterusan ini merupakan antara usaha untuk memperkasakan generasi muda melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, di samping memberikan pendedahan mengenai keunikan, kepentingan dan nilai warisan alam khususnya di kawasan geopark di seluruh Malaysia.

Disediakan oleh PM Dr. Sharina Abdul Halim & Muhammad Amirulamri Mohd Akhairi
23 Julai 2023