17 Mei 2026 – HIMSAK Santuni Gelandangan dan Miskin Bandar melalui Program “Food for Gelandangan”

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2026 – Program Kasih Gelandangan merupakan inisiatif kebajikan hasil kolaborasi antara Himpunan Mahasiswa Kelantan (HIMSAK) dan ‘Food for Gelandangan’ yang memfokuskan kepada golongan gelandangan serta miskin bandar di sekitar Kuala Lumpur. Program ini bertujuan untuk meringankan beban kehidupan harian mereka melalui pengagihan barangan keperluan asas, penyediaan makanan, serta aktiviti sokongan komuniti yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan hidup penerima. HIMSAK yang diterajui oleh Prof. Madya Gs. Dr. Nuriah Abd Majid dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) selaku Penasihat, berperanan dalam membantu pengurusan program dari segi tenaga kerja, logistik, penyelarasan aktiviti, pengagihan sumbangan, serta memastikan kelancaran pelaksanaan program di setiap lokasi.

Salah satu aktiviti program ini telah dilaksanakan pada 15 Mei 2026 yang lalu di sekitar Central Market, Kuala Lumpur yang memberi tumpuan kepada golongan gelandangan dan juga di sekitar Lorong Haji Taib yang memfokuskan kepada golongan miskin bandar. Program yang dianjurkan oleh ‘Food for Gelandangan’ ini berjalan dengan lancar hasil kerjasama erat mahasiswa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pelaksanaan program ini berjaya memberi manfaat kepada komuniti sasaran, memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kemiskinan dan kebajikan sosial di kawasan bandar. Dr. Nuriah turut berkesempatan untuk turun padang dalam program ini dan bersama menyantuni golongan yang kurang bernasib baik ini.

Disediakan oleh PM Gs. Dr. Nuriah Abd Majid
17 Mei 2026