TRANSLATIONAL RESEARCH BLOCKBUSTER:
LANGKAWI UNESCO GLOBAL GEOPARK (LUGG)

TUJUAN

Asas kepada pengenalan konsep geopark di Langkawi adalah bertitik tolak daripada kekayaan dan keistimewaan sumber-sumber warisan geologi itu sendiri yang tersimpan di sekitar kepulauannya. Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh UKM sejak 1990an, sekumpulan penyelidik LESTARI sejurus itu mula mengenengahkan keperluan satu mekanisme pengurusan dan pemuliharaan sumber warisan yang holistik agar sumber-sumber ini kekal dan tidak musnah. Tambahan pula, warisan yang tidak ternilai ini didapati amat berpotensi sebagai produk untuk melonjak Langkawi menjadi salah satu destinasi pelancongan berasaskan alam semulajadi terkemuka di Malaysia dan rantau dunia. Lantas, inisiatif geopark mula diperkenalkan sebagai usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi komuniti tempatan dan kesejahteraan sosial melalui pemuliharaan warisan bumi dan budaya, sehingga akhirnya Langkawi diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark ke-52 dan yang pertama di rantau Asia Tenggara.

Siri penyelidikan berkaitan sumber warisan tabii dan tradisi setempat, ekspedisi saintifik, sesi-sesi libat urus, siri kursus dan latihan serta bengkel-bengkel pengembangan ilmu semakin giat dijalankan bagi memperkukuh kesedaran, pengetahuan dan pemahaman ilmu geopark kepada seluruh komponen masyarakat tempatan. Ia termasuklah pendidikan berterusan kepada agensi-agensi kerajaan, pihak industri, ejen pelancongan dan pengurusan hotel, pemandu pelancong, para guru dan pelajar sekolah serta komuniti awam. Menariknya, Langkawi tidak perlu menunggu lama untuk melihat impak positif pengiktirafan geopark kepada persekitaran dan masyarakatnya.

Sejurus diperakui sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp), kedatangan pelancong tempatan dan luar negara didapati meningkat secara mendadak dan berlipat kali ganda saban tahun, membawa sekali pendapatan tambahan kepada isi rumahnya. Pengiktirafan ini juga menyaksikan peningkatan peluang pekerjaan kepada komuniti melalui pewujudan perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana serta pertumbuhan koperasi dan industri pelancongan yang lebih meluas. Kini, usaha yang dicurahkan oleh penyelidik LESTARI sejak dahulu dilihat membuahkan hasil apabila pemahaman berkaitan geopark dan pemuliharaan warisan semakin baik dan LUGGp telah berjaya diurus tadbir dengan berkesan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pihak-pihak berkepentingan tempatan dan komunitinya. Malah lebih manis, Langkawi menjadi contoh dan rujukan kepada 11 lagi geopark yang menyusul selepasnya, di mana tiga daripadanya turut telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

SUMBANGAN

Idea dan perancangan ke arah pengiktirafan Langkawi sebagai sebuah geopark di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah mula dibincangkan sekitar tahun 2000 lagi. Sejak itu, aktiviti penyelidikan dan ekspedisi saintifik telah dijalankan dengan lebih rancak oleh kumpulan penyelidik dari LESTARI, UKM khususnya melalui Kumpulan Warisan Geologi Malaysia (KWGM). Dengan tertubuhnya Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) beberapa tahun kemudian, hasil penyelidikan disusun secara lebih sistematik dan dikongsikan bersama pihak-pihak berkepentingan serta komuniti setempat bagi tujuan mengukuhkan justifikasi perlunya konsep geopark diterapkan di Langkawi untuk pemuliharaan sumber warisan dan pembangunan geopelancongan.

Setelah diiktiraf sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark pada tahun 2007, aktiviti pengembangan ilmu lebih giat dilaksanakan bersama LADA sebagai Badan Pengurusan Geopark bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat tempatan mengenai geopark. Ia termasuk siri latihan dan kursus kepada pegawai-pegawai kerajaan, renjer hutan, pemandu pelancong serta sesi libat urus, ceramah dan bengkel bersama agensi pelancongan, pihak industri dan hotel, guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah dan seterusnya komuniti awam.

Para penyelidik LESTARI memberi sumbangan berterusan khususnya sebagai saintis dan tenaga pengajar bagi aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pengembangan ilmu geopark, selain menjadi penasihat dan pakar rujuk dalam memberi bimbingan kepada LADA serta pemain industri yang lain dalam hal-ehwal pengurusan geopark dan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat melalui pelancongan lestari. Usaha yang sama kini diteruskan oleh LESTARI melalui Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), bukan sahaja di Langkawi, malah dikembangkan kepada geopark-geopark lain di seluruh Malaysia.

KETUA PROJEK

Prof. Dr. Norhayati Ahmad

KUALA LUMPUR MULTI HAZARD PLATFORM
(KL-MHP)

TUJUAN

Memberi amaran awal 3 hari kehadapan bahaya fizikal yang biasa berlaku di Kuala Lumpur iaitu banjir kilat dan banir, tanah runtuh, lubang benam, angin kencang, haba bandar dan pencemaran udara pada skala tempatan.

SUMBANGAN

KL-MHP ini dibangunkan bersama oleh University of Cambridge dan SEADPRI, LESTARI, dan kini digunapakai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). KL-MHP terdiri daripada konsol fizikal dan sistem berasaskan web paparan dinamik. Selain itu 2 produk telah dihasilkan untuk kegunaan DBKL iaitu Manual Operasi Platform Multi Hazard Kuala Lumpur untuk kegunaan Skuad Penyelamat, Jabatan Penguatkuasa dan Manual Pangkalan Data Geofizikal untuk kegunaan Jabatan Perancangan Bandaraya (JPRB).

KETUA PROJEK

Prof. Dr. Joy Jacqueline Pereira

Reclamation of Wastewater: Policy, Potential and Pilot Study of Mobile Constructed Wetland in Selangor

TUJUAN

Wacana global mengenai keterjaminan air dan pengurusan air sisa menekankan keperluan mendesak terhadap penyelesaian mampan akibat cabaran yang semakin meningkat. Menjelang tahun 2025, separuh daripada penduduk dunia diramal menghadapi kekurangan air yang akan bertambah serius menjelang 2030 berikutan pertumbuhan penduduk dan pembangunan ekonomi. Selaras dengan itu, Matlamat Pembangunan Lestari 6 (SDG 6) menekankan akses sejagat kepada air dan sanitasi.

Di Malaysia, walaupun mempunyai taburan hujan yang tinggi, peningkatan permintaan air serta pencemaran akibat aktiviti industri dan pertanian mengancam keterjaminan air negara. Usaha seperti pulih guna air sisa (wastewater reclamation) dilihat berpotensi, namun ketiadaan kerangka tadbir urus khusus membantutkan pelaksanaannya.

Penyelesaian berasaskan alam semula jadi, seperti tanah bencah buatan (constructed wetlands), mampu merawat efluen, tetapi berdepan halangan terutamanya di kawasan bandar. Kajian ini menilai dasar dan potensi pulih guna air sisa di Malaysia dengan memperkenalkan konsep Mobile Constructed Wetland untuk keterjaminan air serantau.

SUMBANGAN

Objektif pertama meneliti dasar pengurusan air dan air sisa Malaysia yang mendedahkan keperluan reformasi menyeluruh. Jurang ketara wujud kerana undang-undang lebih menumpukan kepada bekalan air dan kawalan pencemaran, bukan air sisa sebagai sumber. Penyelarasan institusi juga terpecah, menyukarkan pelaksanaan. Oleh itu, anjakan paradigma diperlukan melalui pindaan undang-undang serta pembaharuan institusi. Objektif kedua meneliti model perkongsian dan perniagaan bagi pulih guna air sisa.

Walaupun terdapatnya permintaan air yang tinggi, cabaran seperti kos awal yang tinggi dan ketidakpastian peraturan perlu diatasi, disertai analisis kos-manfaat bagi menilai daya maju ekonomi dan alam sekitar. Objektif ketiga berjaya merekabentuk dan menguji Mobile Constructed Wetland berskala perintis di lembangan pembetungan Bangi.

Hasilnya menunjukkan keberkesanan tinggi dalam merawat efluen terawat kepada kualiti yang bersesuaian untuk pelbagai kegunaan, memenuhi piawaian kualiti air negara. Secara keseluruhan, kajian menekankan kepentingan pulih guna air sisa sebagai komponen penting dalam pengurusan sumber air negara bagi menjamin keterjaminan air.

KETUA PROJEK

Prof. Ts. Dr. Lee Khai Ern

CLASSIFICATION TOOL FOR CHEMICAL MIXTURE (CATCH)

TUJUAN

Malaysia telah mewartakan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 (atau dikenali sebagai Peraturan CLASS 2013) untuk mengelaskan dan melabelkan bahan kimia berbahaya. Pematuhan kepada Peraturan CLASS 2013 pada kalangan industri adalah mencabar kerana ia memerlukan input daripada orang yang terlatih atau orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang, serta memerlukan sumber kewangan dan tempoh masa yang signifikan.

Industri, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (SMEs), mempunyai kesukaran untuk mengelaskan campuran bahan kimia yang dihasilkan, dan ini bakal menjejaskan kesihatan pekerja dan pada masa yang sama memberi implikasi kepada perdagangan bahan kimia.

SUMBANGAN

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah bekerjasama untuk membangunkan satu sistem yang dikenali sebagai CATCH (Classification Tool for Chemical Mixture). Objektif CATCH dibangunkan adalah untuk: (i) memudahkan proses import dan eksport bahan kimia; (ii) memperkukuhkan pematuhan Peraturan CLASS 2013; dan (iii) membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEs) untuk mengelaskan campuran bahan kimia.

Daripada tahun 2017-2025, jumlah penggunaan CATCH adalah sebanyak 36,688 kali (catatan: penggunaan di sini merujuk kepada penggunaan sebenar, bukannya lawatan ke website CATCH), di mana hampir 93% daripada jumlah penggunaan kumulatif ini adalah datang daripada industri. Pada industri, CATCH merupakan satu penyelesaian digital untuk pematuhan perundangan, khususnya pematuhan kepada Peraturan CLASS 2013.

KETUA PROJEK
Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta