Bengkel dan Latihan Amali SPSS Tarik Minat Pensyarah dan Pelajar Universiti

23 September 2025 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) yang bertujuan memperkenalkan dan memberi latihan praktikal kepada peserta mengenai cara penggunaan perisian SPSS dalam analisis data penyelidikan. Bengkel ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah daripada pelbagai fakulti dan universiti. Bengkel ini telah dikendalikan oleh Ts. Dr. You Woon Huay, Pensyarah Kanan di ASASIpintar, Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM. Beliau merupakan pakar dalam bidang perlombongan data dan analitik data, pembelajaran mesin, serta kawalan proses dan kualiti statistik. Dengan latar belakang akademik yang kukuh termasuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Statistik (Kawalan Kualiti) dari Universiti Sains Malaysia (USM) – Dr. You telah berjaya menarik minat peserta dengan penyampaian yang jelas, interaktif dan mudah difahami.

Sesi pagi bengkel dimulakan dengan pengenalan kepada SPSS, di mana peserta diperkenalkan kepada asas pengurusan data, analisis statistik deskriptif dan teknik visualisasi data. Pada sesi petang pula, tumpuan diberikan kepada ujian statistik, meliputi pengenalan kepada ujian hipotesis, korelasi dan regresi. Para peserta turut berpeluang menjalankan latihan amali menggunakan set data sebenar, yang membantu mereka memahami konsep teori dengan lebih mendalam. Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberikan pendedahan praktikal kepada peserta dalam menganalisis data menggunakan SPSS. Peserta menyatakan rasa puas hati terhadap kandungan dan penyampaian bengkel, serta berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan topik yang lebih mendalam dan lanjutan.

Disediakan oleh Ku Adriani Ku Ayob
23 September 2025