Cukupkah Gaji Minimum? – Membina Ketahanan dalam Kalangan Kumpulan Mudah Terancam

23 Oktober 2025 – Isu gaji minumum mendapat perhatian yang tinggi dari pelbagai peringkat sama ada dalam kalangan penggubal dasar (kerajaan), ahli akademik, pihak industri, pekerja dan masyarakat awam. Timbul persoalan – adakah penetapan gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu, RM1700 sebulan itu mencukupi bagi menampung kehidupan setiap bulan?. UNESCO-UKM dengan kerjasama MyPoverty Is telah menganjurkan forum bagi membincangkan isu berkenaan. Empat panel pakar yang berpengalaman daripada pelbagai latar belakang telah dijemput untuk mengupas isu hangat ini. Mereka ialah Datuk Hj. Shamsuddin Bardan (Pengarah Eksekutif, Malaysian Federation of Employer – MEF), Encik Umari Aiman (NGO Hunger Hurts), Mr. Hanson Chong (Penyelidik Dasar Ekonomi dari Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa Malaysia – ISIS) dan Dr. Rospidah Ghazali (Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, LESTARI-UKM). Forum ini turut menjemput Profesor Madya Dr. Hazrul Izuan dari Fakulti Ekonomi, UKM yang bertindak selaku moderator.

Sewaktu sesi berlangsung, Dr. Rospidah berkongsi cabaran yang dihadapi oleh kumpulan mudah terancam khususnya kumpulan B40 dalam melestarikan kehidupan menerusi pembentangan beliau bertajuk Building Resilience Among Vulnerable Groups. Ciri-ciri B40 yang antara lain mendapat upah/pendapatan rendah, bergantung satu punca pendapatan, berisiko terhadap kos sara hidup yang tinggi dan berhadapan hutang yang tinggi, amat memerlukan dasar, pendekatan dan program yang mampu meningkatkan daya tahan kumpulan ini terutamanya ketika berhadapan dengan kejutan dan tekanan yang disumbangkan oleh faktor-faktor ekonomi, sosial dan alam sekitar. Pada masa yang sama, Dr. Rospidah turut menasihati golongan belia khususnya mahasiswa universiti agar mengambil peluang untuk cemerlang dalam akademik sepanjang tempoh pengajian masing-masing, membangun dan mengukuh kemahiran serta membina disiplin dan akhlak yang baik sebagai persiapan untuk melangkah ke alam pekerjaan kelak.
Disediakan oleh Rospidah Ghazali
23 Oktober 2025