Dialog Serantau Mengenai Iklim, Perumahan dan Penuaan di Asia Tenggara

15 Januari 2026 – Satu program penyelidikan serantau selama empat hari berkaitan daya tahan iklim, perumahan dan penuaan telah diadakan di Semarang dan Bantul, Indonesia, dari 10 hingga 15 Januari 2026. Program ini telah dianjurkan oleh Rujak Centre for Urban Studies (RCUS) dan disertai oleh para penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta dua pertubuhan bukan kerajaan dari Indonesia iaitu Kota Kita Foundation dan Arkitek Komunitas Indonesia (ARKOM). Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif kajian bertajuk Beyond Housing Types: Comparative Study of Urban Poor Settlements for Urban Heat Adaptation and Inclusive Urban Future in Southeast Asian Cities (Be-Housing) dan bengkel oleh ASEAN Centre for Ageing and Innovation (ACAI), dengan matlamat memperkukuh kerjasama serantau dalam pendekatan adaptasi iklim berteraskan komuniti, khususnya dalam konteks petempatan warisan (kampung kota) dan kelestarian habitat komuniti dalam bandar.

Tujuan utama program ini adalah untuk memahami bagaimana perubahan iklim khususnya peningkatan suhu bandar memberi kesan kepada komuniti rentan, serta bagaimana perumahan inklusif dan perancangan partisipatori dapat menyokong daya tahan iklim dan konsep penuaan di tempat tinggal (ageing-in-place) dalam petempatan warisan dan perumahan strata dalam bandar. Fasa pertama yang berlangsung di Semarang menumpukan kepada bengkel teknikal secara praktikal mengenai rekod suhu bandar dan analisis mikroiklim. Para penyelidik telah bekerjasama secara langsung dengan penduduk di Kampung Melayu dan Rusunawa Kaligawe untuk mendokumentasikan tekanan haba, memetakan keadaan mikroiklim setempat, serta mengaitkan data persekitaran dengan pengalaman harian komuniti dalam habitat kediaman mereka.

Fasa kedua di Bantul, Jogjakarta pula merupakan Bengkel Insepsi anjuran ASEAN Centre for Ageing and Innovation (ACAI) yang bertujuan menyelaraskan matlamat penyelidikan, membincangkan pencapaian (milestones) projek, serta merangka laluan impak kolektif bagi tiga buah lokasi kajian melibatkan Malaysia dan Indonesia. Selain perbincangan formal, kerja lapangan awal turut dijalankan melalui soal selidik dan temu bual mendalam bersama wakil warga emas dari Kecamatan Dlingo, bagi mendapatkan gambaran awal mengenai mobiliti harian, keselesaan perumahan, keadaan kesihatan dan kerentanan terhadap iklim dalam konteks habitat dan warisan kehidupan setempat.

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah diwakili oleh Prof. Madya Dr. Nor Zalina Harun selaku Penyelidik Utama, yang berperanan membincangkan kajian lepas berkaitan dengan realiti komuniti di dua tipologi petempatan dalam bandar di Malaysia. Beliau memimpin perbincangan mengenai penyelidikan bandar secara partisipatori, menyumbang kepada reka bentuk modul latihan dan instrumen penyelidikan, serta berkongsi pengalaman perbandingan dari projek perumahan kos rendah, petempatan warisan dan daya tahan komuniti di Malaysia.

Kepentingan program ini terletak pada pendekatannya yang berteraskan komuniti dalam bandar bukan sekadar bergantung kepada data teknikal, tetapi memberi penekanan kepada pengalaman manusia, keterangkuman sosial dan amalan adaptasi harian. Program ini sekali gus mengangkat LESTARI UKM sebagai peneraju serantau dalam membentuk penyelesaian praktikal, inklusif dan berteraskan sosial ke arah pembangunan habitat bandar yang berdaya tahan iklim serta memelihara warisan dan kesejahteraan petempatan di rantau ASEAN.

Disediakan oleh Prof. Madya Dr. Nor Zalina Harun
15 Januari 2026