Hari Mesra Pelajar LESTARI: Menyemai Ukhwah, Menyemarak Semangat Siswazah

3 Oktober 2025 – Program Hari Mesra Pelajar LESTARI merupakan inisiatif setiap semester yang dianjurkan oleh Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) bagi meraikan kehadiran pelajar baharu serta memperkukuh jalinan silaturahim antara pelajar siswazah, penyelia dan warga LESTARI. Bagi Semester 1, Sesi 2025/2026, program ini turut meraikan 15 orang pelajar Doktor Falsafah dan 2 orang pelajar Sarjana baharu yang bakal menyertai keluarga besar LESTARI.

Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh elemen “Mesra Pelajar” dalam pengurusan siswazah di LESTARI, termasuk dalam kalangan pelajar antarabangsa. Sebagai sebuah institusi penyelidikan bertaraf global, LESTARI sentiasa menekankan pendekatan inklusif dan menyokong pelajar daripada pelbagai latar belakang bagi membentuk komuniti siswazah yang aktif, dinamik dan saling membantu. Walaupun dilaksanakan secara atas talian, program ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu membina komunikasi yang lebih erat serta meningkatkan kefahaman antara pelajar dengan pihak pengurusan dan penyelia. Interaksi dua hala ini juga membantu pelajar memahami peranan LESTARI dalam menyokong perjalanan akademik dan penyelidikan mereka. Diharapkan hubungan yang terjalin melalui program ini akan menjadi asas kepada kerjasama dan kejayaan akademik yang berterusan di masa hadapan. Selamat datang diucapkan kepada pelajar baharu LESTARI!

Disediakan oleh Nur Amira Ahmad
3 Oktober 2025