Hasil Kajian Rentas Industri Kitar Semula Dibentang kepada Menteri NRES

18 April 2025 – Kajian rentas bertajuk “Kesan Industri Kitar Semula Plastik dan Kertas kepada Manusia dan Alam Sekitar” dijalankan bagi menilai impak aktiviti industri kitar semula terhadap kualiti air Sungai Langat dan kesihatan komuniti setempat. Program pembentangan hasil kajian ini telah diadakan di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) anjuran Greenpeace Malaysia dengan kerjasama penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Penyelidik daripada ketiga-tiga universiti ini (termasuk Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin, LESTARI) memainkan peranan penting dalam analisis saintifik, penyediaan laporan teknikal, serta penyampaian hasil kajian kepada pihak kementerian. Aktiviti ini menjadi platform penting bagi menyampaikan bukti empirikal kepada pembuat dasar dalam memperkukuh tadbir urus alam sekitar dan pengurusan sisa industri. Hasil kajian rentas ini berpotensi menyumbang kepada pembangunan dasar lestari yang menyokong SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 12 (Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) di Malaysia.

Disediakan oleh Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin
18 April 2025