IDEANOVA 2025 Menyokong Kreativiti dan Inovasi Pelajar TVET Mengenai One Health (OH)

28 April 2025 – Pertandingan IDEANOVA 2025 bertujuan untuk menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam kalangan peserta melalui idea-idea baharu yang berpotensi memberikan impak positif kepada masyarakat dan industri berkaitan One Health (OH). Pertandingan ini melibatkan pelajar-pelajar daripada institusi TVET iaitu dari Politeknik, Kolej Vokasional (KV), Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia (IKTBN).

Pertandingan yang telah berlangsung ini disertai oleh 95 institusi seluruh negara secara atas talian menggunakan platform Zoom Meeting. Setiap penyertaan dari setiap institusi terdiri daripada tiga orang pelajar dan seorang penyelia (guru/pensyarah). Selain itu, beberapa pensyarah universiti, pensyarah politeknik, pegawai sains dan pegawai penyelidik dari pelbagai institusi turut terlibat sama, kebanyakannya dilantik sebagai ahli moderator dan juri bagi pertandingan ini. Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi penganjur bersama dengan penglibatan beberapa penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) termasuk Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin, Dr. Aziemah Zulkifli, Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad, En. Muhammad Amirulamri Mohd Akhairi dan En. Mohd Fairus Awang.

Pertandingan ini juga dipecahkan mengikut tiga kategori iaitu kategori Politeknik, kategori Kolej Vokasional dan kategori Kolej Komuniti, IKBN dan IKTBN. Setiap kategori ini mempunyai pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga. Di samping itu, setiap kategori ini juga mempunyai anugerah inovasi terbaik pertandingan IDEANOVA 2025. Diharapkan agar pertandingan inovasi ini dapat lagi diteruskan bagi tahun akan datang agar pelajar-pelajar dari institusi TVET yang berpontensi ini dapat menyumbang idea-idea baru bagi membantu masyarakat dan industri mengenai One Health (OH).

Disediakan oleh Muhammad Amirulamri Mohd Akhairi
28 April 2025