Komuniti Geopark Terus Diperkasa: Siri Ketiga Webinar 2025 Himpun Wakil Geopark Kebangsaan

Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark Siri 3/2025 dengan topik Pemerkasaan Komuniti telah berjaya dianjurkan pada 17 September 2025 (Rabu) secara dalam talian melalui Zoom, dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini telah menghimpunkan seramai hampir 90 orang peserta yang terdiri daripada wakil komuniti, pengurus geopark, penyelidik, pelajar serta pegawai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Webinar ini merupakan siri ketiga bagi tahun 2025 dalam rangkaian Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark yang dianjurkan khusus untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penglibatan komuniti dalam pembangunan geopark. Siri webinar ini berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama serta memperkasa peranan komuniti dalam usaha pemuliharaan warisan geologi, pendidikan awam dan pembangunan ekonomi setempat.

Bagi siri kali ini, webinar menampilkan wakil-wakil komuniti dari geopark kebangsaan di Malaysia, termasuk En. Wan Baharudin bin Wan Harun (Lenggong UNESCO Global Geopark), En. Mohamad Faizal Sulong (Kenyir Geopark) dan Pn. Noina Baharuddin (Gombak-Hulu Langat Geopark), yang berkongsi pengalaman, cabaran dan kejayaan mereka dalam pelaksanaan inisiatif komuniti di kawasan masing-masing. Sesi ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim selaku moderator.

Secara keseluruhan, webinar ini telah memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai strategi dan pendekatan berkesan dalam memperkasa komuniti geopark, di samping memupuk semangat kolaborasi antara komuniti, pengurus geopark dan pihak berkepentingan ke arah menyokong agenda pembangunan lestari.

 

Pautan rakaman penuh Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark Siri 3/2025: https://youtu.be/B2i1CKg5u4s?si=FopwJp9xNX_AoFu1