KPU GEOPARK Intai Peluang Penyelidikan di Geopark Lembah Kinta

15 Januari 2026 – Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), LESTARI membuka tirai tahun 2026 dengan penganjuran sebuah Bengkel Hala Tuju Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) Pembangunan Geopark dan Geopelancongan di Bangi Resort Hotel. Dipengerusikan oleh ketuanya, Prof. Dr. Norhayati Ahmad, bengkel selama satu hari ini turut dihadiri oleh beberapa orang ahli penyelidik termasuk Ts. Dr. Lim Chen Kim serta Prof. Madya Dr. Habibah Hj. Jamil, Dr. Juliana Senawi dan Dr. Mohammad Saiful Mansor dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM.
Terlebih dahulu, bengkel memberi peluang kepada ahli untuk berkongsi pencapaian individu dalam tempoh lima tahun ke belakang sebagai persediaan bagi melengkapkan pelaporan pencapaian KPU di peringkat UKM. Sejurus itu, perbincangan beralih fokus kepada peluang-peluang baharu untuk setiap ahli penyelidik bagi memperoleh geran penyelidikan sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun industri. Prof. Norhayati lantas memaklumkan bahawa terdapat potensi besar untuk semua ahli KPU menjalankan penyelidikan di bawah Geran University-Industry Research Consortium (UIRC), yang mana geran ini memperuntukkan sejumlah dana khusus bagi penyelidikan di sekitar Lembah Kinta, Perak berkaitan pemuliharaan dan pengurusan lestari sumber warisan tabii dan budaya (batu kapur) serta inovasi teknologi. Melihat kepada sumbangan penyeldikan ahli di Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) misalnya, beliau begitu menggalakkan semua ahli untuk meneliti peluang ini bagi mengukuhkan ilmu dalam bidang masing-masing, selain turut mencadangkan penyediaan satu proposal penyelidikan yang melibatkan seluruh ahli KPU untuk Geopark Lembah Kinta.
Dalam pada itu, bengkel ini turut menjemput Dr. Suraya Hilmi Hazim, juga dari FST, UKM sebagai ahli baharu KPU bagi menggantikan Dr. Norbert Simon yang telah berpindah ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) beberapa bulan yang lalu. Dr. Suraya menyatakan keterujaan beliau untuk terlibat sama dalam pelbagai inisiatif penyelidikan yang dirancang oleh KPU. Selamat datang Dr. Suraya!!
Disediakan oleh Nazren Leman
15 Januari 2026