LESTARI Perkasa Asas dan Kualiti Penulisan Jurnal Berwasit dalam Kalangan Pelajar

23 Disember 2025 – Jurnal merupakan salah satu bentuk penerbitan yang penting dalam menghebahkan hasil penyelidikan, bukan sahaja kepada ahli akademik atau komuniti saintifik itu sendiri, malah kepada pihak kerajaan, swasta dan industri. Justeru, menghasilkan satu penulisan jurnal yang baik, mantap dan berkualiti adalah asas yang amat penting agar ia mudah difahami dan memberi impak yang sewajarnya kepada pihak berkepentingan. Di LESTARI, pelajar siswazah perlu menghasilkan penerbitan jurnal dalam tempoh pengajian mereka daripada dapatan penyelidikan yang telah dijalankan. Tambahan pula, penerbitan jurnal merupakan salah satu syarat yang perlu dipenuhi oleh para pelajar untuk bergraduat. Dalam hal ini, selain memenuhi syarat bergraduat, adalah penting jurnal yang dihasilkan berkualiti dari segi isi kandungan, gaya penyampaian dan yang lebih penting perlu melalui proses pentasyihan serta diterbitkan dalam jurnal yang mempunyai reputasi baik sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Bagi tujuan ini, para pelajar terlebih dahulu memerlukan satu asas yang baik untuk memahami mengapa dan bagaimana menerbitkan hasil penyelidikan yang berkualiti dalam sesebuah jurnal.

Atas dasar tersebut, Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (KASES) mengambil initiatif untuk memberi bimbingan melalui penganjuran “Bengkel: Navigating Academic Publishing: Writing for Peer-Reviewed Journal”. Objektif utama bengkel ini adalah untuk mendedahkan pelajar kepada penerbitan ilimiah dalam jurnal berwasit serta membangunkan kemahiran pelajar dalam penulisan ilmiah serta proses penerbitan artikel dalam jurnal yang diiktiraf dan bereputasi tinggi. Bengkel ini telah berjaya dianjurkan pada 22 hingga 23 Disember 2025 dan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Saiful Arif Abdullah. Beliau telah berkongsi ilmu yang bernas dan memberikan pencerahan yang sangat bermakna kepada seramai 15 pelajar LESTARI yang hadir. Walaupun menghampiri suasana musim perayaan natal, pelajar tetap hadir dan memberikan komitmen penuh termasuk sebahagian daripada mereka yang menempuh perjalanan jauh demi menimba ilmu pengetahuan.

Semoga segala perkongsian ilmu dari bengkel ini dapat memberikan pendedahan yang jelas tentang landskap penerbitan akademik serta memperkukuh kefahaman, kemahiran penulisan dan keyakinan peserta untuk menghasilkan manuskrip berkualiti bagi jurnal berwasit. Ianya diharapkan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti penerbitan akademik dalam kalangan peserta.

Disediakan oleh Ku Adriani Ku Ayob & PM Dr. Saiful Arif Abdullah
23 Disember 2025