22 Jan 2026 – Membentuk Pelan Pengurusan Bersepadu (IMP) Tanah Gambut Pahang Tenggara 2026-2035

22 Januari 2026 – Kajian tentang Penilaian Semula dan Pembangunan Pelan Pengurusan Bersepadu (IMP) Tanah Gambut Pahang Tenggara 2026-2035 telah dilaksanakan oleh Kumpulan Penyelidik UKM bermula tahun Disember 2024 dan berakhir pada 28 Februari 2026. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Encik Harry Yong, Timbalan Pengarah Pembangunan, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Bengkel yang dianjurkan pada 21 hingga 22 Januari 2026 ini bertujuan untuk mengesahkan strategi dan pelan tindakan yang telah dibangunkan oleh kumpulan penyelidik dalam memastikan Pelan Pengurusan Bersepadu (IMP) Tanah Gambut Pahang Tenggara untuk tempoh 2026 hingga 2035 dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri Pahang dan penduduk sekitar kawasan hutan paya gambut, serta yang lebih utama memenuhi keperluan pemeliharaan dan pemuliharaan untuk ekosistem hutan dan kepelbagaian biologi hutan paya gambut di Pahang Tenggara.

Seramai 32 orang peserta telah hadir sepanjang bengkel ini berlangsung. Peserta yang hadir mewakili pelbagai agensi Kerajaan Negeri Pahang, termasuk wakil daripada Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri Pahang. Secara umumnya, perbincangan dan cadangan daripada peserta telah membantu penyelidik untuk menambah baik beberapa strategi dan pelan tindakan untuk Pelan Pengurusan Bersepadu (IMP) Tanah Gambut Pahang Tenggara. Penyelidik LESTARI iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamed, Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail, Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed dan Prof. Madya Dr. Nuriah Abd Majid telah membentangkan hasil penyelidikan dalam bidang masing-masing dalam bengkel ini.

Disediakan oleh Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed
22 Januari 2026