Memperkasa Amaran Awal: Biosensor DNA dengan Nanokomposit Polianilin/Grafena untuk Pengesanan Voltametri Tanpa Label bagi Alga Penghasil Saksitoksin Berbahaya

21-22 Mac 2025 – Prof. Madya ChM. Dr. Tan Ling Ling dari Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), LESTARI telah dijemput sebagai pembentang ucaptama dalam The 7th Edition of Catalysis, Chemical Engineering and Technology Virtual 2025 (V-Chemical 2025). Persidangan antarabangsa yang dijalankan secara atas talian ini telah menghimpunkan para saintis dan penyelidik dari akademia serta pihak industri di seluruh dunia untuk bertukar idea, membentang hasil penyelidikan terkini dan canggih, membincangkan topik-topik hangat dalam bidang serta berkongsi pengalaman dalam pelbagai aspek pemangkinan, kejuruteraan kimia dan teknologi.
Dr. Tan telah membentangkan hasil penyelidikan beliau berkaitan biosensor DNA dengan nanokomposit polianilin/grafena untuk pengesanan voltametri tanpa label terhadap alga penghasil saksitoksin berbahaya. Penyelidikan ini menangani cabaran berterusan yang ditimbulkan oleh fenomena letusan alga berbahaya (HAB) di Malaysia dan negara-negara lain, yang telah memberi kesan ketara kepada industri perikanan melalui kematian ikan dan kontaminasi makanan laut. Pembangunan biosensor DNA tunggal yang mampu mengesan spesies HAB penghasil saksitoksin yang lazim ditemui di perairan Malaysia merupakan satu pencapaian yang signifikan ke arah mengatasi isu ini.
Disediakan oleh Prof. Madya Dr. Tan Ling Ling
22 Mac 2025