Memperkasa Petani Luar Bandar Melalui Teknologi Pintar: Inisiatif Lapangan LESTARI, UKM ke Arah Pertanian Mampan

26 Februari 2025 – Aktiviti kutipan data lapangan telah dilaksanakan dengan jayanya pada 10-14 Februari 2025 melibatkan enam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah wilayah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kelantan. Program yang berpotensi memberi impak kolaborasi strategik ini dianjurkan oleh Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM dengan kerjasama KADA, bertujuan mengenal pasti faktor yang mempengaruhi penerimaan teknologi pertanian pintar dalam kalangan petani luar bandar. Seterusnya, pada 23-26 Februari 2025 pasukan penyelidik LESTARI telah mengadakan sesi semakan data bersama pegawai pengembangan pertanian KADA bagi memastikan ketepatan, kesahan dan kebolehgunaan maklumat sebelum analisis dijalankan.

Dapatan awal menunjukkan lapan faktor utama merangkumi kemudahan penggunaan, keberkesanan, norma sosial dan subjektif, akses infrastruktur, sumber, latihan dan pendidikan, serta perkhidmatan pengembangan mempengaruhi penerimaan teknologi. Kajian ini berpotensi menyumbang kepada penambahbaikan dasar, strategi pendidikan, jaringan sosial dan infrastruktur pertanian luar bandar, sekali gus menyokong pencapaian SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 2 (Kelaparan Sifar) serta menyerlahkan kepakaran penyelidik LESTARI dalam bidang kelestarian pertanian negara.

Disediakan oleh Dr. Nor Diana Mohd Idris
26 Februari 2025