Mengarusperdanakan Big Earth Data dan AI dalam Pengurangan Risiko Bencana di Malaysia

7 September 2025 – Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) telah terlibat secara rasmi sebagai salah satu rakan kongsi utama mewakili Malaysia dalam Kumpulan Kerja Digital Belt and Road (DBAR) mengenai Pengurangan Risiko Bencana (DBAR-DISASTER), sebuah inisiatif sains global di bawah Program DBAR yang memanfaatkan Big Earth Data untuk menyokong pengurangan risiko di seluruh rantau Belt and Road. Semasa mesyuarat DBAR di Beijing, China baru-baru ini, SEADPRI yang diwakili oleh Ketua Pusat, Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad turut mengambil bahagian dalam Forum Antarabangsa Ke-5 mengenai Big Data for Sustainable Development Goals 2025 (FBAS 2025), menyertai segmen belia yang membicarakan tentang Big Earth Data and AI untuk Pengurangan Risiko Bencana.

Sesi tersebut memberi ruang kepada penyelidik muda dan profesional untuk membincangkan bagaimana kecerdasan buatan, digabungkan dengan set data pemerhatian Bumi yang pelbagai, boleh memajukan sistem amaran awal dan meningkatkan penilaian risiko merentas skala yang berbeza. SEADPRI mempamerkan inisiatif berterusan Malaysia dalam menggunakan Big Earth Data and AI untuk mengukuhkan usaha pengurangan risiko bencana, termasuk projek yang bertujuan untuk menambah baik ramalan iklim, mengukuhkan pengawasan pelbagai bahaya dan mempromosikan pembuatan keputusan berasaskan bukti untuk pembangunan berdaya tahan.
Disediakan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad
7 September 2025