Menggapai Impian Menara Gading: Panduan dan Persediaan Pemilihan Bidang Pengajian

24 Oktober 2025 – Peranan sebagai pensyarah bukan sahaja terhad di dalam dunia kampus dan universiti semata-mata. Ia harus melangkaui ruang lingkung menara gading, berhubung dengan masyarakat dan kumpulan khusus yang bakal menjejak kaki ke universiti dalam tempoh terdekat. Mendekati pelajar-pelajar sekolah khususnya pelajar Tingkatan Empat yang hanya berbekal kurang lebih setahun sahaja sebelum menduduki peperiksaan besar SPM bagi memberi pendedahan, pengetahuan dan panduan hala tuju pengajian di universiti adalah penting. Pelajar sekolah harian yang berada luar bandar kekurangan maklumat berkenaan hala tuju dan bidang pengajian selepas mendapat keputusan SPM. Justeru itu, Dr. Rospidah Ghazali yang juga merupakan alumni Sekolah Menengah Dato’ Klana Putra (SMDKP), Lenggeng, Negeri Sembilan telah dijemput oleh pentadbiran sekolah untuk berkongsi pengetahuan dan juga motivasi kepada kira-kira 141 orang pelajar Tingkat Empat berkenaan bidang dan kursus-kursus yang ditawarkan serta syarat-syarat kelayakan yang diperlukan untuk mengikuti sesuatu kursus tersebut.

Antara penekanan yang dikongsi oleh Dr. Rospidah ialah perlunya mendapat keputusan cemerlang dalam subjek-subjek teras bagi bidang berasaskan Sains dan Teknologi (S&T) dan juga bidang-bidang lain. Terdapat lapan laluan akademik yang boleh dipohon oleh pelajar, antaranya termasuk Matrikulasi, Asasi, Universiti (Diploma), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Politeknik, Kolej Kemahiran, ACCA dan lain-lain. Saluran bantuan pengajian yang boleh dipohon oleh pelajar turut dikongsi oleh Dr. Rospidah di dalam sesi perkongsian ini. Di akhir sesi perkongsian Dr. Rospidah menekankan kepentingan menjaga displin, akhlak, adab serta hubungan dengan Pencipta, ibu bapa, ahli keluarga, guru, rakan-rakan dan masyarakat untuk beroleh keberkatan hidup.

Disediakan oleh Dr. Rospidah Ghazali
24 Oktober 2025