13 Feb 2026 – Pembinaan Kriteria untuk Komuniti Aktif di Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp)

13 Februari 2026 – Bengkel Pemerkasaan Komuniti Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp) selama dua hari setengah telah dianjurkan oleh Tourism Selangor selaku Badan Pengurusan GHLGp, meliputi sesi pembentangan, perkongsian komuniti dan lawatan ke komuniti aktif di sekitar daerah Hulu Langat. Ia dihadiri oleh lebih 60 komuniti daripada pelbagai tahap kepentingan serta wakil daripada Bahagian Promosi dan Produk Pelancongan, Tourism Selangor; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Selangor; dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor.

Prof. Madya Dr. Tanot Unjah dan Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM selaku Pengerusi Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan dan Pengerusi Jawatankuasa Komuniti dan Pendidikan, dijemput untuk menyertai bengkel yang diadakan di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation, Ulu Semenyih, Selangor ini. Selain menjadi pakar rujuk GHLGp, kedua-dua mereka bertanggungjawab sebagai moderator dan fasilitator lapangan mengikut keperluan sepanjang program ini berlangsung pada 11 hingga 13 Februari 2026.

Bengkel ini turut telah mengumpulkan kriteria untuk mengenalpasti komuniti geopark, makanan geopark, rakan geopark, kebudayaan geopark, produk geopark dan kriteria khusus untuk sekolah geopark. Selain memperkukuh jaringan komuniti GHLGp, hasil daripada bengkel ini diharap dapat memberikan panduan serta persediaan bagi menghadapi Sesi Penilaian Semula GHLGp tahun ini, serta menggalakkan penglibatan secara aktif oleh komuniti geopark di GHLGp.

Disediakan oleh PM Dr. Tanot Unjah
13 Februari 2026