Pemerkasaan Kemahiran Digital di Kalangan Komuniti Langkawi Mampu Perluas Pasaran Pelancongan Tempatan

25 September 2025 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menganjurkan tinjauan lapangan “Projek Pemerkasaan Komuniti dan Pemasaran Digital untuk Pemuliharaan Warisan Kubang Badak bagi Pembangunan Pelancongan Lestari” di Langkawi.

Program ini bertujuan untuk menilai potensi pembangunan pelancongan lestari berasaskan komuniti melalui pendekatan pemasaran digital dan pemeliharaan warisan tempatan, khususnya industri ketam, laktud dan tiram serta 13 hotspot biogeotrail yang menjadi identiti kawasan tersebut. Tinjauan turut memberi tumpuan kepada pengumpulan data lapangan, perbincangan bersama komuniti muda, serta penilaian terhadap strategi digital yang dapat meningkatkan daya tarikan pelancongan setempat.
Aktiviti ini dijangka memberi impak besar dalam memperkukuh kemahiran digital komuniti, memperluas pasaran pelancongan berasaskan warisan, dan memupuk kesedaran terhadap kepentingan kelestarian budaya serta alam sekitar. Projek ini turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 9, SDG 11 dan SDG 15) melalui pendekatan inovatif dan inklusif.
Disediakan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim
25 September 2025