Penentuan Bahan Pencemar Udara (PM2.5 dan PM1) di Sekolah-Sekolah Sekitar Selangor dan Putrajaya

18 Julai 2025 – Siri aktiviti kerja lapangan telah dijalankan di 10 Sekolah Kebangaan terpilih di Negeri Selangor dan Putrajaya di bawah geran penyelidikan antarabangsa bertajuk “Exposure of School Children to Particulate Matter in High Traffic and Industrial Area, Malaysia”. Geran antarabangsa ini disumbangkan oleh International Science Council Regional Office for Asia and the Pacific (ISC-ROAP) dan Integrated Research on Disaster Risk-International Centre of Excellence in Taipei (IRDR ICOE-Taipei). Objektif utama kerja lapangan ini dijalankan adalah untuk mengumpul data bahan pencemar udara (PM2.5 dan PM1) di persekitaran sekolah yang terletak di kawasan industri dan trafik tinggi.

Umumnya kawasan sekolah yang terletak di kawasan industri dan trafik tinggi adalah terdedah dengan pencemaran asap kenderaan serta emisi industri, maka adalah penting untuk mengukur dan menilai tahap pencemaran udara ini terutamanya pendedahan pelajar sekolah terhadap bahan pencemar udara. Kerja lapangan ini dijalankan adalah secara berperingkat bermula Februari sehingga Jun 2025, anjuran Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), di bawah seliaan Ts. Dr. Murnira Othman. Beberapa alat sensor AS-LUNG Portable digunakan bagi penentuan bahan pencemar udara PM2.5 dan PM1 yang telah dipasang di dalam dan luar bilik darjah bagi tujuan penentuan kepekatan bahan pencemar udara tersebut.
Disediakan oleh Ts. Dr. Murnira Othman
18 Julai 2025