Penggunaan Aplikasi GIS dalam Penilaian Impak Sosial (SIA): Kursus Hands-on Perkukuh Pengetahuan dan Kemahiran Peserta

24-25 Jun 2025 – Satu kursus yang bertajuk “Integrating GIS Applications for Enhanced Social Impact Assessment in Malaysia (GIS-SIA)” telah dianjurkan dengan jayanya di Bilik Seminar, Kompleks Alumni UKM. Seramai 15 peserta yang terdiri dari pelbagai profesion telah menghadiri kursus ini, antaranya termasuk perunding projek dan perancang bandar dari firma swasta, kumpulan penyelidik dari TNB Research Sdn. Bhd., kumpulan eksekutif dari Land Custody and Development Authority, Sarawak dan kumpulan pegawai dari Jabatan Hutan Sarawak.
Kursus yang dianjurkan bersama oleh Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (KASES) dan Malaysian Association of Social Impact Assessment (MSIA) ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan penggunaan GIS dalam Penilaian Impak Sosial (SIA). Para peserta dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran penting (modul dan aktiviti hands-on) bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk mengaplikasikan GIS dalam SIA di lapangan secara berkesan.
Barisan jurulatih yang terlibat di dalam kursus ini ialah Prof. Gs. Dr. Ruslan Rainis (Profesor Kehormat LESTARI), Tuan Haji Mohamad Tahir Ariffin (Pakar GIS), TPr. Gs. Dr. Gobi Krishna a/l Sinniah (Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia & ahli MSIA) dan Dr. Rospidah Ghazali (Felo Penyelidik LESTARI). Sepanjang sesi latihan berlangsung, para peserta dibantu oleh Puan Rd. Puteri Khairani Khirotdin (Pegawai Penyelidik Kanan LESTARI) sebagai fasilitator. Dalam pada itu, pihak penganjur turut merakamkan jutaan terima kasih kepada PLANMalaysia kerana mengiktiraf kursus ini dengan pemberian 2 mata CPD kepada peserta yang menyertai kursus ini.

Disediakan oleh Ku Adriani Ku Ayob
25 Jun 2025