Perkongsian Ilmu ‘Pendekatan Digital untuk Tanda Amaran Awal Bencana (MyBAHAYA)’ di China

25 April 2025 – Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) merupakan teras kepada Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walau bagaimanapun, kemajuan ke arah mencapai matlamat tersebut terus berdepan dengan cabaran yang signifikan. Memandangkan isu pembangunan lestari menjadi semakin kompleks, keperluan terhadap perancangan serta tindakan global yang bersepadu dan inovatif kini menjadi semakin mendesak. Dalam konteks ini, kemajuan pesat teknologi Digital Earth, terutamanya yang memacu transformasi digital telah menunjukkan potensi besar dalam menyokong pelaksanaan SDGs. Bagi memacu perbincangan dan kerjasama antarabangsa mengenai teknologi ini, 14th International Symposium on Digital Earth telah berlangsung di Chongqing, China, dari 21 hingga 25 April 2025.

Selaras dengan agenda global ini, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah dijemput oleh International Research Centre of Big Data for Sustainable Development Goals untuk membentang dan berkongsi ilmu berkaitan Digital Approach for Disaster Early Warning Signs atau lebih dikenali sebagai MyBAHAYA. Melalui pembentangan yang disampaikan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad, beliau menerangkan bahawa platform sumber khalayak (crowdsourcing) berasaskan web digital ini dibangunkan bagi memperkasa pemantauan bencana berasaskan komuniti. Melalui sistem pelaporan secara mudah alih, MyBAHAYA membolehkan warga kota untuk mengemukakan maklumat terkini berkaitan banjir, tanah runtuh dan penunjuk amaran awal bencana yang lain, sekaligus memperkukuh jaringan komunikasi di antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti secara lebih berkesan.

Disediakan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad
25 April 2025