PPG Tekad Tingkatkan Sumbangan dan Khidmat Kepakaran Penyelidikan

8 Disember 2025 – Penghujung 2025 ini, kakitangan Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), LESTARI sekali lagi mengambil kesempatan untuk berkumpul bersama di Bangi Resort Hotel bagi melihat semula pencapaian dan keberkesanan aktiviti penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh semua ahli pada tahun 2025. Bengkel yang dipengerusikan oleh Ketua Pusat PPG, Prof. Dr. Norhayati Ahmad ini terlebih dahulu memantau sejauh mana PPG telah menyumbang kepada KPI Strategik LESTARI yang dilatakan sebelum ini dan membincangkan langkah-langkah terbaik bagi meningkatkan lagi pencapaian di tahun-tahun mendatang. Bengkel ini amat penting bagi membantu PPG merancang fokus dan hala tuju strategik dalam kepelbagaian aktiviti atau program penyelidikan yang ingin dilaksanakan, khususnya dalam mengukuhkan inisiatif geopark sebagai pemacu pembangunan lestari wilayah.

Bengkel satu hari ini disertai oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah, Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim, Dr. Mir Sujaul Islam, Pn. Wan Daraputri Razali, En. Nazren Leman dan En. Mohd Fuad Tepit dalam satu sesi yang padat namun bersahaja. Pelbagai topik menarik telah dibincangkan dan cadangan penambahbaikan dari aspek pentadbiran PPG turut dilontarkan bagi melicinkan segala perancangan yang dibuat. PPG juga amat bertuah apabila beroleh pelbagai input, gambaran dan cadangan daripada Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo yang turut hadir dan bersama berbincang pendekatan terbaik bagi mempergiat sumbangan PPG terhadap pengukuhan inisiatif geopark di seluruh negara. Dalam kesempatan yang ada, PPG turut mencadangkan lebih banyak aktiviti kolaborasi penyelidikan bersama beliau melalui jaringan kerjasama dengan Geopark & Geotourism Creative Solutions Sdn. Bhd. (GGCS) yang telah dimeterai sebelum ini.

Disediakan oleh Nazren Leman
8 Disember 2025