Shanghai University Terbangkan Dr. Murnira ke China

31 Ogos 2025 – Ts. Dr. Murnira Othman, Felo Penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) telah dijemput oleh School of Environmental and Chemical Engineering, Shanghai University, China sebagai Pensyarah Pelawat melalui satu program sangkutan yang bermula pada 1 hingga 31 Ogos 2025. Turut terlibat dalam program yang sama adalah seorang pelajar Doktor Falsafah LESTARI iaitu Puan Siti Aminah Anshah. Program ini bertujuan untuk mempertingkatkan jaringan kolaborasi dan pertukaran idea dalam penyelidikan berkaitan bidang sains atmosfera dan pencemaran udara.

Sepanjang sebulan program ini berlangsung, beberapa aktiviti telah disertai oleh Dr. Murnira termasuk sesi syarahan oleh Prof. Dr. Daniel Schlenk (Profesor di University of California Riverside dan Executive Editor, Environmental Science & Technology Journal), sesi perbincangan bersama Prof. Alfonso-Saiz Lopez (Profesor di Institute of Physical Chemistry “Rocasolano”, Spain) dan sesi pertukaran idea penyelidikan bersama Prof. Dr. Li Li (Timbalan Dekan, School of Environmental and Chemical Engineering, Shanghai University). Program sangkutan yang ditaja sepenuhnya oleh Shanghai University ini sememangnya berupaya untuk memberi manfaat kepada LESTARI khususnya, dalam mempertingkatkan kolaborasi penyelidikan untuk permohonan pelbagai geran antarabangsa, penghasilan jurnal-jurnal berimpak tinggi serta membuka peluang penyeliaan lebih ramai pelajar antarabangsa di masa hadapan.
Disediakan oleh Ts. Dr. Murnira Othman
31 Ogos 2025