Siri Terakhir Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark 2025 Bincang Isu ‘Pembangunan Geopelancongan & Inovasi Sosial’

22 Oktober 2025 – Siri Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark kini menutup tirai tahun 2025 dengan penganjuran siri terakhirnya secara atas talian. Tema yang dibawa pada Siri 4/2025 adalah berkisar tentang ‘Pembangunan Geopelancongan & Inovasi Sosial’ dan telah berjaya menarik minat hampir 100 orang peserta daripada pelbagai agensi dan institusi kerajaan, pihak industri dan swasta, ahli akademik serta individu dalam kalangan komuniti dari 12 geopark di seluruh Malaysia.
Webinar dikendalikan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim, Felo Akademik dari Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertindak selaku Moderator. Seperti siri sebelumnya, tiga lagi Panelis berpengalaman dari tiga geopark kebangsaan ditampilkan dalam webinar kali ini, iaitu:
- Dr. Mohd Amin Ali AMK., BKM. – Pegawai Tadbir, Majlis Perbandaran Sungai Petani, mewakili Jerai Geopark
- Puan Mimie Duasah PPC., AMW. – Pengasas/Presiden Persatuan Wanita Tani Labuan & Geoguide, Labuan Geopark
- Encik Mohd Hafiz Che Mahmud – Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Wilayah & Perbandaran), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan, mewakili Stong Geopark

Terlebih dahulu, peserta disajikan dengan perkongsian ilmu dan pengalaman oleh para panelis yang memaparkan pelbagai inisiatif geopelancongan dan inovasi sosial menarik yang telah atau sedang dilaksanakan di geopark masing-masing. Ia termasuk aktiviti-aktiviti pembangunan pelancongan yang dirancang oleh jawatankuasa/badan pengurusan geopark, mahu pun usaha kelompok komuniti setempat yang menghasilkan pelbagai geoproduk dan kraftangan berasaskan sumber warisan tabii dan budaya.
Sesi seterusnya membincangkan perihal pendekatan terbaik khususnya dari aspek perancangan kewangan dalam mempromosikan keunikan geopark-geopark yang terdapat di Malaysia, termasuk produk-produk geopelancongan sedia ada bagi menyemarakkan industri pelancongan tempatan. Ketiga-tiga Panelis turut sependapat bahawa geopark seharusnya menjana manfaat sosio-ekonomi kepada masyarakat tempatan. Mereka menekankan bahawa penglibatan aktif komuniti dalam aktiviti geopelancongan dan inovasi sosial adalah amat penting bagi memastikan geopark terus berkembang. Webinar kali ini juga amat bertuah mendapat cadangan dan nasihat daripada Prof. Dr. Che Aziz Ali yang merupakan antara pakar akademik yang terlibat aktif dalam pembangunan geopark-geopark di Malaysia sejak dulu lagi.
PPG, LESTARI selaku Penganjur, dengan kolaborasi bersama Persatuan Geologi Malaysia (GSM) dan Jawatankuasa Pelaksana Geopark di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berharap agar webinar seumpama ini dapat diteruskan di masa hadapan untuk terus menyokong agenda pembangunan geopark yang lebih berkesan dan lestari, serta memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak akademik, pihak berkuasa tempatan, dan komuniti geopark di seluruh Malaysia.

Pautan Webinar Siri 4/2025: https://youtu.be/yLf9S9g9hwc
Disediakan oleh Nazren Leman
22 Oktober 2025