Wacana Kelestarian Siri 3/2025

Pada 20 Ogos 2025, Wacana Kelestarian Bil 3/2025 telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Azwan Abdullah, Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan. Wacana yang disampaikan secara atas talian bertajuk Dari Lestari ke Legasi: Perancangan Kewangan Sejahtera. Wacana Kelestarian Bil 3/2025 kali ini juga mendapat sambutan dengan kehadiran mencecah 131 peserta rata-rata dari warga UKM, universiti luar dan juga agensi-agensi berkepentingan.

Topik yang disampaikan menekankan kaitan rapat antara pengurusan kewangan yang mampan dengan usaha mewariskan nilai serta aset yang dapat memberi faedah jangka panjang. Konsep “Lestari” merujuk kepada pengurusan berhemah dan berterusan, manakala “Legasi” merangkumi pemindahan ilmu, nilai, dan sumber yang memberi kesan positif kepada generasi akan datang. Prinsip asas yang digariskan di dalam pembentangan beliau, meliputi amalan disiplin dalam simpanan, peningkatan literasi kewangan, perancangan jangka panjang, pelaburan beretika serta patuh Syariah, dan pengurusan harta yang sistematik. Pendekatan praktikal yang disarankan termasuklah pembentukan dana kecemasan, pengurusan hutang secara bijaksana, pelaburan berlandaskan prinsip etika, dan perancangan persaraan yang teratur. Kesemua strategi ini memberi gambaran pendekatan holistik yang menggabungkan dimensi kewangan, sosial, emosi, dan kelestarian institusi keluarga serta masyarakat. Melalui usaha ini, bukan sahaja kedudukan kewangan individu dapat diperkukuhkan, bahkan ia turut menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara secara menyeluruh.

Ringkasnya, perjalanan daripada kelestarian menuju legasi menuntut gabungan ilmu, disiplin, dan nilai, bagi membina masa depan yang stabil, sejahtera, dan dapat diwariskan sebagai aset berterusan untuk manfaat masyarakat.

Laporan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad.