Faculty of Medicine UKM

E-ROKOK BERI RISIKO DARAH TINGGI, SERANGAN JANTUNG PADA KANAK-KANAK DAN REMAJA

Oleh Mohamad Salleh Sulieman (sallehsulieman@ukm.edu.my)

CHERAS – Kanak-kanak dan remaja yang menggunakan e-rokok berisiko untuk mendapat darah tinggi, serangan jantung dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan otak mereka.

Pensyarah dari Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Noor Azimah Muhammad, berkata ketagihan nikotin juga meningkatkan risiko untuk mereka bertukar kepada rokok tembakau pada masa hadapan.

“Ramai beranggapan cecair nikotin yang dimasukkan dalam peranti e-rokok sebagai selamat dan persepsi ini menular dalam golongan orang dewasa serta kanak-kanak dan remaja.

“Nikotin yang akan menyebabkan ketagihan dan memberi kesan kepada sistem imuniti, jantung, salur darah, sistem reproduktif, buah pinggang dan otak manusia,” katanya.

Beliau menambah, bahan kimia lain yang dimasukkan ke dalam cecair e-rokok adalah propylene glycol, glycerine dan perisa tambahan.

Manakala terdapat juga campuran lain seperti acetaldehyde, formaldehyde, vitamin E acetate, acrolein, dan logam yang boleh memudaratkan kesihatan.

“Bukti klinikal menunjukkan bahan kimia dalam e-rokok seperti vitamin E acetate boleh membawa kepada kecederaan paru-paru yang dikenali sebagai EVALI iaitu singkatan kepada e-cigarette or vaping use-associated lung injury.

“Pesakit yang mengalami EVALI akan mengalami demam, batuk, sakit dada, kesukaran bernafas, paras oksigen dalam badan yang rendah yang juga boleh membawa kepada kematian.

“Terdapat juga kes yang dilaporkan menunjukkan e-rokok boleh menyebabkan pneumotorak iaitu udara berada dalam ruang pleura atau kantung luar paru-paru yang menyebabkan organ tersebut gagal berfungsi.

“Pesakit perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan rapi termasuklah rawatan menggunakan alat bantuan pernafasan dan oksigen,” katanya.

Beliau menambah, oleh kerana rokok eletronik ini masih baharu, kesannya pada paru-paru bagi jangka masa panjang masih belum diketahui.

“Namun terdapat kes yang mengaitkan e-rokok dan penyakit asthma serta penyakit paru-paru kronik,” katanya.


E-Rokok Tidak Selamat

Beliau juga mengulas penggunaan e-rokok yang digembar-gemburkan sebagai selamat.

“Dalam jangka masa panjang, kos rawatan yang perlu ditanggung oleh kerajaan seperti ketagihan nikotin (dan dadah berbahaya), kecederaan paru-paru dan masalah perubatan yang lain akan meningkat.

“Kanak-kanak dan remaja Malaysia perlu dilindungi dan tidak didedahkan dengan perkara yang boleh memudaratkan tahap kesihatan, menjejaskan pencapaian akademik dan masa hadapan mereka.

“Penggunaan e-rokok jika dibiarkan terus berleluasa boleh membawa kerugian yang besar kepada negara,” katanya.

Beliau juga mengulas e-rokok tidak seharusnya dilihat sebagai sebahagian dari gaya hidup masyarakat Malaysia.

“Perokok elektronik muda tidak wajar mempromosikan gaya hidup seperti ini yang dilihat bebas merokok di mana sahaja, mencemarkan udara yang mungkin boleh juga membahayakan kesihatan orang lain di sekeliling.

“Sebahagian mereka pula berasa bangga menghembuskan asap dari rokok eletronik semasa siaran langsung (‘live’) di media sosial,” katanya.


Hentikan Jualan E-Rokok Kepada Kanak-kanak dan Remaja

Beliau juga menjelaskan tujuan awal e-rokok adalah untuk membantu perokok berhenti merokok dan bukannya untuk kegunaan masyarakat umum yang tidak pernah merokok.

“E-rokok perlu dikhususkan kepada perokok yang ingin berhenti dan terhad kepada orang dewasa sahaja. E-rokok bukan untuk mereka yang tidak pernah merokok.

“Selain itu, rokok eletronik juga sewajarnya tidak berperisa dan tidak disediakan berwarna-warni yang boleh menarik perhatian kanak-kanak dan remaja disebabkan rasa buah-buahan atau manisan yang enak.

Beliau juga mencadangkan cukai yang tinggi dan kawalan harga harus dikenakan kepada rokok eletronik seperti yang dikenakan pada rokok tembakau.

“Denda kepada penjual dan pengedar perlu dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah mengedarkan kepada kanak-kanak dan remaja di bawah umur.

“Penjualan e-rokok perlu dihadkan kepada individu yang bertauliah seperti ahli farmasi di farmasi berdaftar.

Kemajuan teknologi juga telah memudahkan kanak-kanak dan remaja terutamanya mereka yang mempunyai akses kepada sistem perbankan dalam talian untuk membuat pembelian sendiri.

Manakala penggunaan e-rokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin meruncing dengan adanya e-rokok pakai buang yang murah dan tanpa kawalan di pasaran.

“Seboleh-bolehnya, penjualan dalam talian perlu disekat bagi mengekang penjualan e-rokok kepada kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kawasan larangan merokok termasuklah rokok eletronik perlu diperluaskan lagi.

“Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 terutamanya GEG perlu disokong dan dilihat sebagai suatu usaha yang baik untuk menjaga kebajikan kanak-kanak dan remaja Malaysia.”


Profesor Madya Dr. Noor Azimah Muhammad
Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga
Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia