



Oleh Dr. Mohamed Afiq Hidayat Zailani (Senior Lecturer in the Department of Pathology, Faculty of Medicine, UKM)
KUALA LUMPUR — Glucia™, sebuah pasukan inovatif dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Utama dalam pertandingan MIT Hacking Medicine Malaysia Diabetes X Hackathon yang berlangsung dari 20 hingga 22 November 2026 di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Pertandingan berintensiti tinggi ini menghimpunkan lebih 100 orang inovator, saintis, dan pakar teknologi daripada pelbagai bidang bagi menangani cabaran dalam pengurusan diabetes. Berbeza dengan pertandingan konvensional, program ini mencabar peserta untuk mengenal pasti permasalahan, menjana idea asli, dan membangunkan penyelesaian dari peringkat awal sepanjang program berlangsung.
Pasukan Glucia™ terdiri daripada enam orang ahli yang mempunyai pelbagai kepakaran, iaitu Dr. Ahmad Hathim Ahmad Azman (Ketua Pasukan) dari Jabatan Pendidikan Perubatan, Dr. Mohamed Afiq Hidayat Zailani dari Jabatan Patologi, Dr. Siti Liyana Saud Gany, Dr. Nuraqila Mohd Murshid dan Dr. Faizul Jaafar dari Jabatan Biokimia, serta Dr. Ng Wei Meng dari Jabatan Perubatan Kesihatan Awam. Dr. Ahmad Hathim dan Dr. Mohamed Afiq turut menganggotai Jawatankuasa Kecerdasan Buatan Perubatan (Med-AI) di fakulti mereka.
Menerusi sesi intensif selama 48 jam, Glucia™ berjaya meraih anugerah tertinggi menerusi inovasi kesihatan digital mereka, manis™. Inovasi ini merupakan sistem teleperubatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) agentik yang direka untuk pengurusan diabetes dalam kalangan wanita hamil melalui pendekatan penjagaan yang diperibadikan (personalized medicine).
“Sepanjang program ini, kami memperolehi pengalaman yang sangat berharga dan berasa berbesar hati menerima pengiktirafan daripada MIT Hacking Medicine,” kata Dr. Mohamed Afiq. “Kami hadir ke program ini secara individu sebelum membentuk pasukan di sana. Walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza, kami menemui matlamat bersama, iaitu membangunkan penyelesaian pintar yang mudah diakses bagi mengurangkan beban pengurusan diabetes kepada pesakit dan pengamal perubatan,” tambah Dr. Nuraqila.
Pengiktirafan ini merupakan hasil usaha gigih dan komitmen seluruh pasukan sepanjang program itu. Menambah kejayaan pasukan Glucia™, Dr. Ahmad Hathim selaku ketua pasukan turut terpilih sebagai salah seorang daripada tiga penerima Anugerah Golden Ticket, yang merangkumi tajaan penuh perjalanan ke Boston, Amerika Syarikat, bagi menyertai program MIT GrandHack 2027. Pengiktirafan ini mencerminkan kepimpinan, potensi inovasi dan komitmen beliau dalam memajukan penjagaan kesihatan melalui teknologi.
“Saya amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Saya berharap dapat terus memimpin Glucia™ dalam memperkembangkan inovasi kami dan meneroka peluang membawanya ke pasaran antarabangsa,” kata Dr. Ahmad Hathim.