
KUALA LUMPUR — Dr. Mohamed Afiq Hidayat Zailani, Pensyarah Kanan di Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah dinobatkan sebagai salah seorang daripada lima pemenang terbaik dalam pertandingan peringkat kebangsaan Top AI Innovator 1.0 yang dianjurkan oleh Awantec Sdn. Bhd. dengan kerjasama Google for Education Malaysia. Inisiatif ini mengiktiraf penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) Gemini Pro secara inovatif dalam bidang pendidikan, serta para pemenang turut menerima hadiah lawatan pembelajaran imersif ke Google Singapura.
Dr. Mohamed Afiq menyertai pertandingan tersebut dalam kategori “Best Use Case for Lecturer” menerusi projek inovatif beliau yang bertajuk “Redesigning Lecture Materials for Cardiac Pathology”. Inovasi ini tercetus daripada cabaran menyampaikan konsep perubatan yang kompleks kepada pelajar perubatan prasiswazah. Beliau memanfaatkan teknologi AI generatif untuk menambahbaik kandungan konsep patologi yang padat berkaitan Penyakit Jantung Iskemia kepada bahan pembelajaran yang lebih jelas dan menarik.
“Pendidikan perubatan melibatkan pelbagai konsep yang sangat kompleks. Saya percaya bahawa tanggungjawab kita sebagai pendidik adalah untuk memudahkan pemahaman pelajar tanpa menjejaskan ketepatan saintifik sesuatu ilmu. Saya melihat AI sebagai alat yang bernilai untuk memperkasakan peranan pendidik, bukannya menggantikannya,” kata Dr. Mohamed Afiq.
Selain menghasilkan bahan kuliah yang lebih interaktif, inovasi tersebut turut merangkumi bahan ulang kaji yang dinamik, dengan penghasilan “Virtual Takeaway Notes (VTN)”, iaitu video ringkasan berdurasi empat minit yang menampilkan suara latar dan avatar yang dijana menggunakan AI. Pelajar boleh mengakses bahan ulang kaji ringkas ini untuk mengukuhkan pemahaman dan meningkatkan daya ingatan selepas sesi kuliah.
“Antara objektif utama saya adalah untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses dan menarik, walaupun selepas pelajar meninggalkan dewan kuliah. Saya berharap pendekatan ini dapat menggalakkan pelajar mengulang kaji serta memperkukuh pemahaman mereka mengikut kesesuaian mereka,” tambah beliau.
Anugerah ini mencerminkan potensi para pendidik dalam mengintegrasikan Gemini Pro secara berkesan bagi meneroka pendekatan baharu yang mengutamakan inovasi, kejelasan visual dan kecekapan pembelajaran dalam pendidikan perubatan. Bagi Dr. Mohamed Afiq, pengiktirafan ini turut memperkukuh keyakinan beliau terhadap potensi inovasi berteraskan AI dalam membentuk masa depan pengajaran dan pembelajaran. “Saya percaya bahawa ini hanyalah permulaan. AI mempunyai potensi yang sangat besar untuk mentransformasikan pendidikan perubatan. Saya berharap dapat terus meneroka pendekatan inovatif yang menjadikan pengalaman pembelajaran lebih bermakna dan memberikan impak positif kepada generasi profesional kesihatan pada masa hadapan,” katanya mengakhiri temu bual.