BANGI, 22 Januari 2026 – Kedai Buku Karya@UKM telah dirasmikan dengan jayanya oleh 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐉𝐨𝐡𝐚𝐧 𝐈𝐝𝐫𝐢𝐬, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penubuhan Kedai Buku Karya@UKM merupakan satu inisiatif strategik UKM bagi memperkukuh ekosistem penerbitan dan penyebaran ilmu, khususnya dalam mempromosikan karya akademik, ilmiah dan kreatif hasil penerbitan warga universiti.
Kedai buku ini menampilkan pelbagai judul terbitan UKM. Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Johan Idris menyatakan bahawa Penerbit UKM, sebagai imprin penerbitan ilmiah universiti, bertanggungjawab untuk menyebarluaskan kepakaran dan hasil penyelidikan warganya menerusi penerbitan buku dan jurnal. Usaha ini membawa pakar bidang yang hanya dikenali dalam komuniti akademik kepada pakar pelbagai displin yang diiktiraf dan dirujuk dalam masyarakat. Sudah pasti usaha tersebut mampu memberi manfaat yang boleh dinikmati bersama, antaranya, dalam merungkai pemasalahan semasa, membangunkan industri melalui pertukaran inovasi dan jaringan dengan pihak berkepentingan dan meningkatkan kualiti hidup. “Kedai buku ini diharap dapat menjadi ruang interaksi intelektual, menyemarakkan budaya ilmu serta memperluas akses masyarakat terhadap hasil penyelidikan dan pemikiran ilmuwan UKM,” ujar beliau.