Bengkel Bantu Terbit Siri 1/2025
Bangi, 27 Februari 2025 – Bengkel Bantu Terbit Siri 1/2025 yang telah dianjurkan oleh Penerbit UKM telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada warga akademik dari pelbagai fakulti, menunjukkan komitmen dan sokongan mereka dalam usaha Penerbit UKM untuk memperkasa budaya penulisan dan penerbitan.
Objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan secara khusus tentang spesifikasi dan proses penerbitan karya ilmiah Penerbit UKM, memberi bimbingan secara hands on kepada pengarang untuk menambah baik manuskrip sebelum dihantar untuk penerbitan, dan membantu meningkatkan kualiti karya dalam menghasilkan penerbitan yang bermutu tinggi dan berimpak.
Antara pengisian bengkel ialah sesi perkongsian oleh editor berpengalaman yang membincangkan topik seperti penerbitan buku ilmiah, penerbitan karya tesis ke buku, serta sebab-sebab penolakan manuskrip. Sesi soal jawab dan pemurnian manuskrip turut diadakan bagi membantu peserta meningkatkan mutu penulisan masing-masing.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah karya ilmiah yang diterbitkan oleh warga akademik universiti, seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan institusi dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Penerbit UKM juga komited untuk terus menganjurkan bengkel seumpama ini secara berkala selaras dengan aspirasi UKM untuk meningkatkan penerbitan ilmiah yang boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang berpengetahuan dan maju.