Bangi, 19 Mac 2025 (Rabu), Penerbit UKM telah menganjurkan Kursus Visualisasi Data menggunakan Aplikasi Mirosoft Power BI bertempat di Bilik Seminar, Penerbit UKM. Kursus ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 34 peserta terdiri daripada warga UKM, pelajar serta peserta dari luar UKM.
Kursus ini dikendalikan oleh En. Nor Hisham Bontak, Pegawai Teknologi Maklumat UKM yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi data. Sepanjang sesi, para peserta telah didedahkan kepada penggunaan perisian Power BI, iaitu satu alat analisis data yang berkuasa dan interaktif yang dibangunkan oleh Microsoft. Penceramah turut berkongsi pelbagai kelebihan Power BI dalam membantu pengguna memvisualisasikan data secara efektif, menghasilkan laporan yang menarik, dan membuat keputusan berdasarkan data yang tepat dan terperinci.
Peserta kursus berpeluang mempelajari asas penggunaan Power BI termasuklah cara mengimport data, mencipta carta visual, membina dashboard, dan memahami fungsi DAX (Data Analysis Expressions). Sesi turut merangkumi latihan praktikal bagi memberi pendedahan secara hands-on kepada peserta agar lebih memahami aplikasi sebenar perisian ini dalam tugasan harian mereka.
Secara keseluruhannya, kursus ini telah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu memperkenalkan serta meningkatkan kemahiran peserta dalam penggunaan Power BI untuk analisis data dan pelaporan. Peserta memberikan maklum balas yang positif dan berharap agar kursus lanjutan dapat dianjurkan pada masa akan datang bagi memperkukuh kefahaman serta kemahiran dalam penggunaan perisian ini. Inisiatif ini selaras dengan usaha Penerbit UKM dalam memperkasakan literasi digital dalam kalangan warga universiti dan masyarakat umum.