BicaraBuku

Program Advokasi Penerbit UKM "Buku & Masyarakat"

Program Advokasi Penerbit UKM “Buku & Masyarakat” merupakan inisiatif utama Penerbit UKM bagi mempromosikan budaya membaca serta memperkenalkan dunia penerbitan kepada masyarakat. Program ini dilaksanakan secara interaktif dan inklusif, menyasarkan pelbagai golongan termasuk pelajar dan profesional, bagi meningkatkan kesedaran terhadap peranan buku dalam pembentukan pemikiran dan peradaban.

Antara aktiviti utama ialah pameran buku dan sesi bicara buku yang mempertemukan masyarakat dengan penulis dan pakar pelbagai bidang. Ia mengetengahkan penerbitan karya ilmiah yang berkait dengan isu semasa, serta menjadi platform untuk pertukaran idea dan pemikiran kritis. Inisiatif ini bertujuan menyemai minat membaca dan menyebarkan ilmu ke arah pembentukan masyarakat berilmu dan progresif.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar memperkenalkan penerbitan, tetapi juga berperanan memperkukuh budaya membaca dan menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat pelbagai lapisan. Penyertaan aktif masyarakat diharap mampu menjadikan program ini berimpak positif dan berterusan kepada generasi akan datang.

Penerbit UKM di Pesta Buku Kuala Lumpur 2025

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Penerbit UKM di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) akan menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025. Kami mengalu-alukan kehadiran semua pencinta buku untuk temui kami di Reruai No. 6-35, Dewan Tun Razak 3, WTCKL.

Tarikh: 23 Mei – 1 Jun 2025
Lokasi: Reruai No. 6-35, Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Waktu Operasi: 10.00 pagi – 10.00 malam

Tawaran Istimewa:
*Diskaun 15% untuk semua buku terbitan Penerbit UKM sepanjang PBAKL 2025
*Pelbagai judul buku ilmiah berkualiti tinggi dalam pelbagai bidang
*Koleksi terbaharu hasil penyelidikan pakar-pakar UKM

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan bahan bacaan bermutu dengan harga istimewa ini. Marilah bersama-sama memeriahkan PBAKL 2025 dan menambah koleksi buku ilmiah anda!

Bicara Buku "Elemen Kecerdasan Spiritual Islam untuk Pemimpin Belia"

BANGI, 22 April 2025 – Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Institut Islam Hadhari UKM berjaya menganjurkan sesi Bicara Buku “Elemen Kecerdasan Spiritual Islam untuk Pemimpin Belia” secara hibrid di Karya@UKM, menggabungkan kehadiran fizikal daripada pelajar Fakulti Pengajian Islam UKM dan penyertaan atas talian. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Advokasi “Buku dan Masyarakat” bagi mengukuhkan peranan ilmu dalam pembangunan insan.

Acara ini menampilkan barisan panelis yang berautoriti iaitu, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham, FASc (Pengarah Institut Islam Hadhari UKM) dan Dr. Suriani Sudi @ Yusoff (Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Peradaban Islam UIS) dan dipandu oleh Dr. Abu Dardaa Mohamad daripada Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan UKM.

Acara yang berlangsung pada 22 April 2025 (Selasa), bermula 12.00 tengah hari sehingga 2 petang ini disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi UKM (https://www.facebook.com/UKMOfficial/videos/1212172910453560), merentasi sempadan untuk capaian lebih inklusif.

Program Advokasi Penerbit UKM “Buku & Masyarakat” Sempena PBAKL 2025

KUALA LUMPUR – Penerbit UKM telah mengambil bahagian dalam Slot Republika Merah yang dianjurkan oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung.

Slot Republika Merah merupakan inisiatif MAPIM untuk memberi ruang kepada penerbit universiti dan institusi ilmiah mempromosikan karya mereka kepada masyarakat umum. Penerbit UKM mengambil dua slot dalam program ini, menunjukkan komitmen dalam menyebarkan ilmu berkualiti.

Penerbit UKM memanfaatkan platform ini untuk memperkenalkan dua buku berkaitan autisme, iaitu “Mitokondria dan Gangguan Spektrum Autisme: Madu Kelulut Sebagai Rawatan Alternatif” dan Panduan Aktiviti Harian Kanak-Kanak Autsime.

Sesi bicara buku ini mendapat sambutan hangat, dengan ramai pengunjung mengambil peluang untuk bertanya dan berkongsi pengalaman.