News
Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.
GLOW SISTERHOOD CAMP

Hulu Selangor, 13 September - Program GLOW Sisterhood Camp dijalankan pada 12 dan 13 September 2026 di Lemuni Retreat Training Centre, Kerling merupakan inisiatif Nexus FSSK, UKM yang menggabungkan kepakaran Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), UKM x UNICEF Communication for Development Centre in Health (HEALTHCOMM) dan Pusat Kepimpinan Wanita (PKW). Program ini bertujuan memperkasa remaja perempuan melalui pendidikan kesihatan haid bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan keyakinan dalam penjagaan kesihatan diri. Program ini menggabungkan pendekatan pendidikan interaktif, perkongsian kepakaran dan aktiviti kreatif bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat, terbuka dan bersesuaian dengan keperluan remaja. Pelaksanaannya turut menyokong usaha memperkukuh literasi kesihatan haid serta menggalakkan perbincangan yang positif bagi mengurangkan stigma dan salah faham berkaitan haid. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Emma Mirza Wati Mohamad, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Perasmian ini mencerminkan komitmen fakulti dalam menyokong penyelidikan berimpak tinggi yang menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan sebenar masyarakat, khususnya dalam usaha memperkasa kesejahteraan remaja.

Program ini turut menampilkan barisan pakar jemputan daripada bidang kesihatan, pendidikan dan komuniti. Pn. Nadazatul Shima Jaafar daripada SPOT Community bertindak sebagai fasilitator bagi sesi Memahami Perubahan Tubuh Saya, yang memberi penekanan kepada pemahaman perubahan fizikal dan perkembangan diri remaja. Sementara itu, Dr. Nur Faezza Mohd Mohtar dari Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, menyampaikan ceramah bertajuk Pengurusan Sakit Haid Saya bagi meningkatkan pemahaman peserta tentang pengurusan kesakitan haid dan kepentingan penjagaan kesihatan yang bersesuaian. Turut hadir sebagai jemputan ialah rakan kolaborasi industri iaitu Puan Dina Kartini Lukman dari Kertas & Co..

Turut berkongsi kepakaran ialah Dr. Hayatul Najaa binti Miptah, Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Primer, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Penglibatan pakar perubatan ini memperkukuh pengisian program melalui perspektif klinikal dan pendidikan kesihatan, sekali gus membantu peserta memperoleh maklumat yang lebih tepat dan berasaskan pengetahuan perubatan. Selain itu, MENTION CLUB mengendalikan sesi Video Production Workshop & Video Assignment Session. Sesi ini memberi peluang kepada peserta meneroka kemahiran penghasilan video sebagai medium kreatif untuk menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan haid dalam kalangan rakan sebaya.

Kepelbagaian pengisian program ini memperlihatkan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan pengetahuan kesihatan, pembangunan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi kreatif. Kerjasama antara pakar perubatan, organisasi komuniti dan tenaga pengajar turut memperkukuh usaha memastikan pendidikan kesihatan haid dapat disampaikan secara lebih mudah difahami, relevan dan dekat dengan pengalaman remaja. Secara keseluruhannya, GLOW Sisterhood Camp diharapkan dapat menjadi platform pemerkasaan remaja perempuan untuk memahami kesihatan diri, membuat keputusan yang lebih bermaklumat serta membina keyakinan dalam menguruskan kesihatan haid.







One Response