Pusat Pemerkasaan Remaja

Welcome To PERKASA Website

News

Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.

PERMATA REMAJA 4 COMMUNITY @ PULAU TUBA

PULAU TUBA, 21 Feb 2024 – Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Citra UKM telah berjaya menganjurkan Program PERMATA Remaja 4 Community di Pulau Tuba, Langkawi. Program ini telah disertai seramai 25 peserta daripada Program PERMATA Remaja dan 22 mahasiswa Sarjana Muda Sains Citra. Selain itu, pihak YOSH MyFund Action dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah turut terlibat dalam menjayakan program ini.

Menurut Ketua Pusat Pemerkasaan Remaja UKM, Dr Nasrudin Subhi, program sebegini dianjurkan bertujuan untuk menyemai semangat memberi dan tolong-menolong dalam kalangan remaja dari Program PERMATA Remaja yang rata-rata merupakan remaja berisiko bandar dan golongan B40. Antara aktiviti yang dilakukan adalah program ‘Qiamullail dan Subuh Macam Jumaat’, aktiviti membersihkan pesisiran pantai dan menanam pokok bakau, bual bicara kekeluargaan serta aktiviti mewarna dan membuat layang-layang bersama penduduk terutamanya kanak-kanak dan remaja di Pulau Tuba.

Para peserta telah menginap selama tiga hari dua malam di Pulau Tuba bersama ibu bapa angkat yang telah diatur oleh urus setia. Hal ini telah memberikan pengalaman yang amat bermakna buat semua. Paling menyeronokkan ini merupakan kali pertama, mereka menjejakkan kaki ke Pulau Tuba. Dalam tempoh yang singkat ikatan tali silaturahim di antara peserta dan ibu bapa angkat telah terbentuk dengan begitu erat. Hal ini jelas terpancar di acara penutupan di mana rata-rata menunjukkan rasa sedih dan sebak malah ada yang menitiskan air mata kerana perpisahan tersebut.

Program ini cukup istimewa kerana melibatkan gabungan lima penjuru iaitu PERMATA Remaja, Pusat Pengajian Citra UKM, YOSH MyFund Action, Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah dan penduduk Pulau Tuba. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan di masa yang akan datang, memandangkan ianya telah berjaya memberikan impak yang baik dan berkesan kepada ke semua pihak yang terlibat.