Majlis Peluncuran Program SHE Leads 2026

Pada 22 Jun 2026, Dr. Noremy Md. Akhir mewakili Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) telah menghadiri Majlis Peluncuran Program SHE Leads 2026 yang berlangsung di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), sebuah inisiatif pembangunan kepimpinan wanita yang bertujuan memperkasa, membimbing dan menghubungkan pemimpin wanita masa hadapan dalam sektor pendidikan tinggi.

Majlis peluncuran telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, dan turut dihadiri oleh tokoh-tokoh kepimpinan wanita Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) termasuk Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Shahabudin, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM, Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz, Mantan Pengarah PKWTFH, serta Dr. Hajah Ina Md. Yasin, Pengarah Governan UKM merangkap Mantan Felo Utama Bersekutu PKWTFH.

Turut berlangsung forum bertajuk “Memimpin Melangkaui Batasan: Pemimpin Wanita sebagai Pemangkin Perubahan” yang menghimpunkan pemimpin akademia, korporat dan industri bagi berkongsi pandangan, pengalaman serta strategi dalam memperkukuh peranan wanita sebagai agen perubahan dalam pelbagai sektor.

Penyertaan PKWTFH dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan pusat dalam menyokong agenda pemerkasaan kepimpinan wanita, pembangunan bakat serta pengukuhan jaringan strategik ke arah melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berwibawa, berdaya tahan dan berimpak tinggi.