Persidangan Meja Bulat Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan Pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG): Cabaran dan Implikasi Terhadap Pembangunan Malaysia Madani

Pada 17 April 2023 yang lalu, Pengarah PKWTFH, Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz telah dijemput menjadi ahli panel atas kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) sempena Persidangan Meja Bulat Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan Pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG): Cabaran dan Implikasi Terhadap Pembangunan Malaysia Madani anjuran Akademi Profesor Malaysia bertempat di Hotel Tenera, Bangi.
Sebagai salah seorang Pakar Rujuk dalam bidang Kesihatan, Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz turut memfokuskan pemeliharaan kepentingan wanita dan kanak-kanak kesan daripada permasalahan ini dari sudut kesihatan secara holistik. Hasil kesepakatan daripada persidangan ini membawa beberapa cadangan untuk dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi mengatasi masalah ini yang dikenali sebagai Deklarasi Bangi. Antara intipati cadangan tersebut adalah:
1. Membuat semakan segera terhadap keputusan kerajaan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 sehingga RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan
2. Mengenakan kadar cukai minimum yang efektif terhadap semua produk tembakau terutamanya rokok kepada 65% seperti saranan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
3. Mengenakan cukai dan kawalan harga terhadap semua cecair rokok elektronik sebagaimana pencukaian produk tembakau dan rokok bagi mengurangkan kebolehdapatan terutama dalam kalangan remaja.
4. Menetapkan kadar kepekatan nikotin maksimum yang dibenarkan untuk berada di pasaran berdasarkan amaun nikotin (mg/ml).
5. Memastikan komitmen negara untuk mencapai sasaran ‘Tobacco Endgame’ seperti yang disarankan oleh WHO iaitu prevalens perokok kurang daripada 5% menjelang 2040.
6. Memerangi rasuah dan ketirisan sempadan bagi menangani isu penyeludupan produk tembakau termasuk rokok elektronik.
7. Mengenakan lesen khas terhadap premis dan penjual produk rokok elektronik serta mengenakan sekatan lokasi penjualan dalam lingkungan 5 km dari semua institusi pendidikan dan kawasan perumahan.
8. Menyediakan satu geran khas bagi menjalankan penyelidikan berkaitan rokok elektronik termasuk kesan terhadap kesihatan, ekonomi dan sosial terbuka kepada semua institusi awam dan swasta.
9. Menetapkan tempoh selama 3 tahun bagi mengkaji semula keberkesanan percukaian rokok elektronik dan jika didapati cukai ini tidak efektif, maka nikotin cecair dan gel perlu dikawal semula di bawah Akta Racun 1952.
10. Memastikan keberkesanan dan keselamatan penggunaan rokok elektronik sebelum mendaftarkannya untuk tujuan pengurangan kemudaratan rokok konvensional (harm reduction) melalui Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).
11. Memastikan kepentingan dan amalan mesra kanak-kanak, wanita dan keluarga sentiasa dipelihara dan dilindungi dari penggunaan rokok dan rokok elektronik.
12. Mewartakan fatwa haram produk tembakau termasuk rokok dan rokok elektronik oleh Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta penguatkuasaannya di semua negeri.
Anda juga boleh membaca beberapa artikel mengenai hasil Persidangan Meja Bulat Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan Pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG): Cabaran dan Implikasi Terhadap Pembangunan Malaysia Madani seperti berikut:
1. Health Experts List 10 Recommendations In ‘Bangi Declaration’ For Tobacco And Vape Control
2. Tetap 65% cukai minimum produk tembakau, kerajaan diberitahu
3. Kerajaan perlu efektif tangani isu produk tembakau, vape
4. Deklarasi Bangi tuntut cukai 65 peratus terhadap produk tembakau, nikotin