Sesi Perbincangan bersama Pusat Islam UKM bagi program kerjasama strategik sempena sambutan Ulang Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Pada 23 Jun 2026, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Pusat Islam UKM yang berlangsung di Pusat Islam UKM bagi meneroka potensi kerjasama strategik sempena sambutan Ulang Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sesi perbincangan ini melibatkan Dr. Noremy Md. Akhir, selaku Ketua PKWTFH, Dr. Nashrah Hani Jamadon, Timbalan Pengarah Pusat Islam UKM, serta Prof. Emerita Dr. Che Husna Azhari. Perbincangan tertumpu kepada cadangan penganjuran program dan inisiatif bersama yang dapat memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan keluarga, komuniti dan masyarakat.

Selain memperluas jaringan kerjasama antara kedua-dua pusat, pertemuan ini turut membuka ruang kepada perkongsian idea dan kepakaran dalam merangka program berimpak tinggi yang selari dengan aspirasi pemerkasaan wanita dan sambutan ulang tahun UKM ke-57 ini.

PKWTFH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Islam UKM atas kesudian menjadi tuan rumah dan berharap jalinan kerjasama ini dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada warga universiti dan masyarakat secara umumnya.