171 Pegawai Kanan PDRM Terima Sijil Profesional UKM: Kepimpinan PDRM Kalis Masa Depan

 

Foto: Pusat Komunikasi Korporat UKM

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2025 – Seramai 171 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta detik bersejarah apabila berjaya menamatkan pengajian dan menerima Sijil Profesional Kepimpinan PDRM Kalis Masa Depan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi 2024/2025, dalam satu Majlis Graduasi yang berlangsung dengan penuh berprestij di ibu negara hari ini.

Program profesional berimpak tinggi ini dibangunkan secara strategik hasil kolaborasi antara UKM dan PDRM, merangkumi tiga kategori utama, iaitu:

  1. Sijil Profesional Penilai Kompetensi Kepimpinan Tertinggi dalam Kepolisan bagi pegawai berpangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) dan Senior Asisten Komisioner (SAC);
  2. Sijil Profesional Kepimpinan Strategik Kepolisan untuk pegawai berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP); dan
  3. Sijil Profesional Kepimpinan Pengoperasian Kepolisan bagi pegawai berpangkat Superintendent.

Memperkasa Kepimpinan Berwibawa, Mencorak Polisi Masa Hadapan

Mewakili Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail, Pengarah Pengurusan PDRM, YDH Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, dalam ucapannya menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan langkah transformasi penting dalam memartabatkan profesionalisme kepimpinan tertinggi PDRM, selaras dengan Pelan Strategik PDRM 2021–2025.

Menurut beliau, para pegawai kanan yang bergraduasi merupakan perintis kepada usaha memperkemas kaedah pencarian lapisan kepimpinan muda atau pool of talent yang berpotensi untuk mengisi jawatan penting dan strategik dalam PDRM.

“Sebagai pasukan penguatkuasa terulung di Malaysia, PDRM perlu diterajui oleh mereka yang berkompetensi, berkredibiliti, profesional dan berintegriti tinggi. Program-program ini juga diyakini akan mampu memperkukuhkan daya kepimpinan menerusi pembangunan bakat berasaskan kompetensi. Menerusi program-program kepimpinan seumpama ini, ia bukan sahaja dapat menjamin kelangsungan kepimpinan, yang unggul malah berupaya memacu penyampaian perkhidmatan kepolisan yang cemerlang dan berterusan seiring dengan penarafan world class policing,” tegas beliau.

Beliau turut menambah bahawa kerjasama strategik antara PDRM dan UKM menjadi bukti kesungguhan kedua-dua institusi dalam memperkukuh keupayaan modal insan kalis masa depan, demi mengekalkan ekosistem keselamatan negara yang komprehensif, responsif dan berdaya saing.

UKM Pacu Agenda Keilmuan dan Keselamatan Negara

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, menjelaskan bahawa inisiatif bersama ini dirangka untuk memperteguh jati diri kepimpinan keselamatan negara dengan menumpukan kepada pembentukan kompetensi teras, pemikiran strategik serta ilmu kalis masa depan dalam kalangan pegawai kanan PDRM.

Beliau turut menegaskan bahawa landskap keselamatan masa kini menuntut kepimpinan yang mampu beradaptasi terhadap perubahan teknologi dan sosial tanpa mengabaikan nilai keilmuan serta integriti.

“Selaras dengan aspirasi UKM sebagai pemangkin pembangunan negara, kami terus komited untuk menghasilkan modal insan berwibawa, termasuk dalam sektor keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang. Program kali ini bukan sekadar latihan profesional, tetapi juga suatu manifestasi nilai bersama yang kita junjung iaitu keilmuan, amanah, dan tanggungjawab kepada negara” ujar Prof. Dr. Faizal yang mewakili Naib Canselor UKM.

Prof. Dr. Faizal turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pegawai yang bergraduasi, sambil menyifatkan kejayaan tersebut sebagai gambaran sebenar dedikasi, komitmen dan integriti mereka dalam menegakkan kecemerlangan perkhidmatan awam serta keselamatan negara.

Tentang Program Sijil Profesional Kepimpinan PDRM Kalis Masa Depan

Program Sijil Profesional Kepimpinan PDRM Kalis Masa Depan merupakan inisiatif hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan PDRM pada 22 Ogos 2024, yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan (Profesional-UKM).

Program ini direka berasaskan falsafah pembangunan kepimpinan berdaya tahan dengan objektif utama seperti berikut:

  1. Memperkasa keupayaan kepimpinan keselamatan negara melalui pembangunan kompetensi teras dan pemikiran strategik dalam kalangan pegawai kanan PDRM. Objektif ini menekankan pembinaan kemahiran kepimpinan yang kukuh, selari dengan peranan penting PDRM dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.
  2. Melahirkan pegawai polis yang berilmu, beretika dan adaptif melalui pemupukan ilmu yang kalis masa depan serta penerapan nilai integriti, keadilan dan tanggungjawab sosial. Ini selari dengan aspirasi UKM sebagai pemangkin masyarakat beretika dan menyokong transformasi kepimpinan dalam sektor keselamatan dan penguatkuasaan.
  3. Menyediakan platform latihan profesional yang berstruktur dan berimpak tinggi bagi menyokong hala tuju strategik PDRM ke arah pasukan yang berwibawa, progresif dan berkhidmat untuk negara. Objektif ini mengiktiraf program ini bukan sekadar latihan akademik, tetapi sebagai satu usaha strategik membentuk barisan kepimpinan yang relevan dan dipercayai rakyat.

Program ini menzahirkan kesepaduan antara keilmuan akademik dan ketegasan kepolisan, sekali gus memperkukuh sinergi antara UKM dan PDRM dalam melahirkan generasi kepimpinan keselamatan negara yang berdaya fikir, berprinsip dan bersedia mendepani cabaran masa depan.