Program Kepimpinan Bakat Perantis

Program Kepimpinan Bakat Perantis berlangsung selama dua hari pada 23 – 24 November 2022. Program ini merupakan program awalan bagi pentadbir universiti untuk meningkatkan kecenderungan daya kepimpinan melalui kefahaman tadbir urus universiti.

Hari pertama program berlangsung, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad, Pengarah Profesional-UKM telah memperkenalkan Kompetensi Kepimpinan dan Personaliti Individu yang boleh dihubungkaitkan dalam membentuk kelompok bakat berkarisma dan berpengetahuan.

Slot Memimpin Diri, Agenda Setiap Hari telah dikendalikan oleh Tuan Hj. Syamsul Amri Abd Razak manakala Slot Kepimpinan Pasukan Hebat telah dikendalikan oleh En. Norrul Izuhan Shafri, Ketua Penolong Pendaftar dari Jabatan Kewangan HCTM. Peserta dibahagikan kepada kumpulan serta perlu menyelesaikan permainan uji minda sebagai analogi dalam memahami kepimpinan universiti.

Hari kedua program Kepimpinan Bakat Perantis diteruskan dengan Slot Meraikan Perbezaan, Menyantuni Persamaan dikendalikan oleh Puan Yuslina Johari, Pegawai Psikologi UKM. Peserta telah melaksanakan tugasan lakonan kumpulan berdasarkan kepada situasi yang diberikan.
Slot UKM Unggul ke Tangga 100 dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Rizal Palil, Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Strategi UKM. Setiap peserta perlu memahami serta menjiwai aspirasi universiti untuk memacu kecemerlangan sesebuah organisasi.

Di akhir program ini, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad, Pengarah Profesional-UKM telah menyampaikan Sijil Kepimpinan Bakat Perantis kepada semua peserta yang terlibat. Profesional-UKM merakamkan setinggi terima kasih kepada penceramah dan peserta di atas kerjasama dan komitmen yang tinggi sepanjang program ini berlangsung.

Bakat Perantis merupakan program awalan untuk mencungkil dan mengilap kelompok bakat kepimpinan universiti yang bakal menerajui universiti di masa hadapan. Tahniah dan selamat maju jaya kepada semua peserta.