Siri 3: Kursus Khas Pegawai Gred Khas C (Jusa C) Kementerian Kesihatan Malaysia

Oleh Safiyyah Alia Saharom
Foto Aini Najwa Asri

DAMANSARA, 7 Julai 2025 – Seramai 40 orang Pegawai Gred Khas C Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menghadiri Kursus Pengesahan Kenaikan Pangkat Pegawai Gred Khas C Kementerian Kesihatan Malaysia Siri 3 2025 yang berlangsung pada 7 hingga 8 Julai 2025 di Hotel Royale Chulan Damansara. Kursus ini dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Kompetensi, KKM dengan kerjasama Bahagian Bakat Staf dan Jaringan, Pusat Pembangunan Profesional & Kepimpinan Universiti Kebangsaan Malaysia (Profesional-UKM) bagi memperkukuh kompetensi kepimpinan. Siri kali ini menjadi penutup kepada keseluruhan tiga siri kursus yang telah berjaya melatih seramai 110 orang Pegawai Gred Khas C di seluruh negara. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pegawai dalam memahami prinsip kepimpinan yang berkesan.

Peserta berpeluang mengikuti perkongsian ilmu bersama tokoh yang berpengalaman dalam bidang korporat dan kesihatan. Antara penceramah jemputan ialah YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid bin Omar, Pengerusi Cypark Resources Berhad yang membentangkan tajuk Leading with Purpose: A Corporate Leader’s Perspective, menekankan nilai kepimpinan berlandaskan integriti dan tanggungjawab sosial.

Turut berkongsi ialah YBhg. Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Felo Penyelidik Utama Institut Biologi Molekul Perubatan, UKM dengan dua tajuk: Strategic Leadership in Healthcare: Advancing Patient-Centred Care through Innovation, Research, and Collaboration serta Strategic Healthcare Leadership: Mastering Key Traits and Negotiation Skills for Transformative Success.

Selain itu, YBhg. Dato’ Dr. Omar Abd Hamid, Pengasas Avisena Healthcare dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif UEM Edgenta Berhad turut membincangkan Healthcare Management in Malaysia: Challenges and Opportunities yang menyorot cabaran serta peluang dalam landskap kesihatan negara.

Program ini diharap dapat memperkukuh keyakinan, kemahiran dan rangkaian profesional pegawai KKM dalam menggalas tanggungjawab memimpin organisasi ke arah kecemerlangan perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.