Profesor Emeritus Datuk Dr. Lokman Saim

Lokman Saim

 

Profesor Emeritus Datuk Dr. Lokman Saim dilahirkan pada 16 Februari 1959 di Parit Bengkok Bagan, Batu Pahat, Johor. Beliau merupakan antara 150 anak kampung yang dipilih oleh MARA apabila projek perintis Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dimulakan pada tahun 1972 di Seremban, Negeri Sembilan. Pada tahun 1977, beliau ditawarkan tempat di Tahun 1, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semasa di UKM, beliau menonjolkan kecemerlangan akademik dan ketokohan kepimpinan pelajar dengan memegang jawatan sebagai Ketua Kelas dari Tahun 1 hingga Tahun 6, Setiausaha Agung PERSIAP, AJK JAKSA, serta Jawatankuasa Penubuhan Asian Medical Students Association di samping aktif mewakili fakulti dalam permainan bola sepak dan badminton. Atas kecemerlangan tersebut, beliau dianugerahkan Hadiah Buku Dr. Sachinanathan pada Konvokesyen UKM 1983.

Selepas menamatkan housemanship di Hospital Seremban, beliau memohon jawatan sebagai Pensyarah Pelatih di Jabatan Otorinolaringologi. Beliau berjaya memperoleh Fellowship daripada Royal College of Surgeons Edinburgh pada tahun 1989 serta Ijazah Sarjana Surgery (Otorinolaringologi-Kepala & Leher) UKM pada tahun 1991. Beliau kemudiannya menerima latihan sebagai Fellow di Harvard Medical School, Boston, Amerika Syarikat dari tahun 1993 hingga 1994 dalam sub-bidang neuro-otologi. Bidang ini dipelopori oleh beliau bukan sahaja di Malaysia malahan di rantau Asia Tenggara, di mana beliau menempa sejarah negara apabila melakukan pembedahan implan koklea pertama di Malaysia pada 14 Disember 1995. Kepakaran beliau yang tersohor melayakkan beliau sering diundang sebagai pakar perunding pembedahan implan koklea serta latihan pembedahan neuro-otologi di negara Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Singapura, India, dan Pakistan.

Beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya pada tahun 1993 dan seterusnya Profesor pada tahun 1998. Di samping kesibukan sebagai doktor pakar, beliau turut berkhidmat sebagai pentadbir di Fakulti Perubatan UKM, termasuk sebagai Ketua Jabatan Otorinolaringologi (1991–1993 dan 1997–2000), Timbalan Dekan (2000–2003), serta Dekan Fakulti Perubatan bermula pada tahun 2003. Sebagai seorang pakar perubatan terkemuka dan Pakar Kanan Telinga, Hidung, dan Tekak (ENT) di Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Lokman Saim kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perubatan Kumpulan yang pertama di KPJ Healthcare Bhd.

Siaran Serupa

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *